Kuala Lumpur: Walaupun ditunda sebelum ini, Konsert Rentas Masa yang berlangsung esok di Zepp KL mendapat sambutan hebat di mana lebih 70 peratus tiket terjual dalam talian selain permintaan ‘walk in’.
Pengarah Projek TGJ Entertainment, Ovie Muhammad selaku penganjur akui timbul juga kerisauan sekiranya penonton yang hadir melebihi jangkaan mereka memandangkan kapasiti juga dikurangkan.
“Penonton konsert membabitkan nama-nama legenda ini kurang gemar membeli tiket secara dalam talian macam generasi terkini. Ramai yang cakap akan beli secara ‘walk in’ nanti.
“Risau juga kalau terlebih daripada kapasitinya. Ini kerana awalnya ada zon berdiri untuk konsert itu namun ramai memilih beli zon duduk dan kami terpaksa ubah kepada tetapan itu.
“Dari 1,600 berkurang kepada 1,200. Tapi kami percaya mereka akan tetap berhibur dan menikmati persembahan secara maksima nanti,” katanya.
Ovie juga tersentuh apabila ada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) ingin hadir ke konsert terbabit.
Baginya ia satu pencapaian bermakna secara peribadinya sebagai penganjur.
“Saya pun biasa anjurkan konsert sebelum ini. Selalunya kami tak terima panggilan daripada OKU. Tapi untuk konsert ini, ada peminat golongan sendiri hubungi kami bertanya mengenai tiket, diskaun.
“Saya rasa ia bermakna apa yang ingin saya sampaikan untuk konsert ini, jadi. Individu itu terpanggil untuk datang. Pastinya dia bukan beli satu tiket tapi beberapa kerana keluarganya yang akan bawa dia,” katanya.
Dengan penganjuran pertama itu, Ovie berharap konsert menggabungkan artis berbeza era termasuk dari zaman 1980-an dan 1990-an akan terus diadakan. Dia berhasrat mempelopori acara sebegitu.
“Kalau kita tak buat, siapa? Sampai satu masa nanti lenyap begitu saja. DJ Dave dan Jeffrydin pun masih sihat sekarang. Kita kena tunjuk kepada generasi baharu,” katanya.
Konsert Rentas Masa yang menampilkan Datuk DJ Dave, Datuk Jeffrydin, Datuk Awie dan Ziana Zain itu sepatutnya berlangsung pada 31 Disember lalu. Namun ditunda bagi menghormati mangsa bencana banjir di beberapa negeri.