KUALA LUMPUR: “Video itu ‘fake’. Siapa percaya, dia tertipu,” katanya.

Demikian jawapan pelakon, Tony Eusoff, apabila mengulas mengenai video tidak senonoh yang menampilkan individu memiliki wajah sama dengannya tersebar di platform X.

Tony atau nama sebenarnya, Anthony Joseph Hermas Rajiman, 46, berkata, dia tidak akan mengambil tindakan kepada pihak yang menyebarkan dan seboleh-bolehnya tidak mahu membebankan fikiran dengan perkara tidak bermanfaat.

“Kalau boleh saya mahu ‘ignore’ sahaja perkara ini sebab ia tidak membawa manfaat kepada sesiapa. Netizen menyebarkannya pun adalah orang tak elok dan tak bagus. Nak cari yang bersalah adalah orang menyebarkan.

“Saya tak buat pun benda macam ini. Di dunia macam-macam malapetaka yang berlaku termasuk Palestin. Kita boleh nampak rakyat di sana merana dan terseksa.

“Jadi, saya tak mahu fokus pada benda sebegini. Nak cari pun buang masa sahaja, jadi saya rasa benda macam ini tiada guna nak ambil tindakan,” katanya kepada BH Online.

Tony memaklumkan menerima video daripada kawannya dan semua mengakui video itu adalah palsu.

“Ada kawan menghantar video kepada saya. Kawan baik pertahankan saya, cakap video itu ‘fake’. Mereka tahu dan bekas teman wanita pun tahu ia adalah ‘fake’.

“Benda ini sudah banyak berlaku sebelum ini, jadi saya tak mahu fokus pada perkara negatif. Apa yang penting, itu bukan saya,” katanya.

Tony tidak mahu mengambil tindakan kepada pihak yang menyebarkan dan enggan membebankan fikiran dengan perkara tidak bermanfaat. - Foto IG Tony Eusoff
Tony tidak mahu mengambil tindakan kepada pihak yang menyebarkan dan enggan membebankan fikiran dengan perkara tidak bermanfaat. – Foto IG Tony Eusoff

Tambah Tony, dia mengakui penyebaran video itu tidak menjejaskan kariernya kerana pihak yang pernah bekerja dengannya mengenali dirinya seorang yang berdisiplin dan sentiasa memberikan kerjasama baik.

“Saya tak rasa ia menjejaskan nama dan kerjaya. Sebab saya percaya bila saya bekerja, saya buat dengan sepenuh hati dan berikan terbaik.

“Yang penting, saya tak mahu menghampakan sesiapa. Kalau bekerja dengan sesiapa pun, saya akan memastikan berikan terbaik dan seikhlas hati.

“Tanyalah produksi mana-mana yang pernah bekerja dengan saya, mereka akan beri sokongan 100 peratus dan katakan saya berikan yang terbaik. Itu saya boleh janji, mereka pastinya sokong saya,” katanya ketika ditemui pada majlis Viu Upfront 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Sebelum itu, Tony hadir ke sidang media pelancaran Viu Original W: Two Worlds, karya adaptasi daripada drama bersiri popular Korea dengan tajuk yang sama.

Mengulas lanjut, Tony berkata, dia seronok dapat menjadi sebahagian dari pasukan W: Two Worlds yang membabitkan ramai pelakon yang senang bekerjasama.

“Saya senang bekerjasama dengan semua pelakon, mudah serasi, tiada perangai pelik-pelik. Ada produksi yang kita sukar nak bergaul, tapi produksi ini, semuanya mudah bergaul,” katanya.

Siri romantik, fantasi dan thriller arahan Datuk Yusry Abdul Halim akan mula ditayangkan, esok menerusi platform penstriman Viu.

Ia turut menampilkan Hun Haqeem, Daiyan Trisha, Faizal Hussein, Elizabeth Tan, Mierul Aiman dan Shahkimin.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *