Sabak Bernam: “Berat badan Along (Syah Nizam Ahmad Shamsi) semakin susut selepas kehilangan 10 kilogram (kg) dan hanya bergantung kepada susu khas sahaja,” kata Mimi Norfaiza Mohd Idris.-ADVERTISEMENT-

Mimi Norfaiza, 41, adalah isteri kepada vokalis Jinbara yang mesra disapa Along berkongsi keadaan kesihatan penyanyi itu yang semakin pulih selepas menjalani pembedahan mengeluarkan cecair di otak dan menebuk tekak, pada September lalu.

Kata Mimi Norfaiza, kali terakhir berat badan suaminya adalah 62 kg.

“Mungkin sekarang sudah 50 kg sebab susut sangat dan kesihatannya banyak berbeza.

“Susu dia khas sejak dari wad dan setiap empat jam sekali saya bagi dengan menggunakan tiub selama hampir tiga bulan.

“Doktor juga ada beritahu untuk cuba bagi dia rasa lidah sendiri sebab sudah lama tidak digunakan. Jadi saya kena perlahan-lahan ajar suami untuk lihat lidahnya okey atau sebaliknya,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Mimi Norfaiza, suaminya turut boleh bergerak dan menyeimbangkan badan.

Ditanya sumber pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup, dia berkata, walaupun Along tidak bekerja hampir tiga bulan tetapi pelbagai cara diusahakan termasuk menjana pendapatan melalui aplikasi TikTok.

“Kawan-kawan terdekat banyak membantu kami dari awal. Ada yang uruskan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari segi lampin pakai buang, susu dan sumbangan sedikit.

“Saya serahkan rezeki pada Allah saja sebab tidak bekerja. Saya jaga dia dan dia pun macam ini (sakit),” katanya.

Ditanya hasrat Along untuk kembali beraksi di pentas dan bertemu dengan peminat, Mimi Norfaiza berkata suaminya sentiasa bersemangat untuk kembali sihat seperti sedia kala.

“Insya-Allah, saya selalu cakap dekat dia kuat semangat. Belum buat video klip lagi kita nak kena kuat semangat.

“Dia kata Insya-Allah, saya ajar dia kuat macam mana (kuat sambil genggam tangan). Ramai peminat mendoakan dia, kalau saya bersiaran langsung dengan akaun dia (TikTok) memang sangat ramai.

“Kita tak tahu Allah angkat doa siapa. Alhamdulillah,” katanya.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *