Klang: Berita pemergian bekas vokalis Jinbara, Allahyarham Tia atau Shamsul Bakhtiar Zakaria, 53, turut mengejutkan rakan artis dan penggiat seni tanah air.

Rata-rata rakan artis tidak menyangka penyanyi lagu Farhana itu akan meninggalkan industri seni secepat itu.

Antara rakan artis yang hadir memberi penghormatan terakhir pada majlis pengebumian Allahyarham Tia ialah anggota kumpulan Jinbara iaitu pemain dram, Atan dan vokalisnya, Cepot serta bekas anggota Jinbara, Yabang. Tidak ketinggalan, penyanyi Lan Solo, Ameng Spring dan Liza Hanim.

Menurut vokalis kumpulan Jinbara, Cepot, arwah Tia, seorang yang banyak memudahkan urusan kerja sepanjang mereka bekerjasama dalam Jinbara sebelum ini.

“Sepanjang kami bersama arwah tidak pernah buat hal.

“Kali terakhir, kami berjumpa ialah sewaktu program realiti TV, Gegar Vaganza pada 2017,” katanya.

Pemain dram Jinbara, Atan pula berkata, dia dapat tahu arwah Tia menderita penyakit kanser hati menerusi doktor yang merawat arwah yang berkongsi mengenainya di laman Facebook.

“Saya dimaklumkan doktor yang merawat Tia mengenai penyakit arwah menerusi ‘Direct Message’ (DM) di Facebook.

“Pada masa sama, kami juga memang merancang untuk beri bantuan kepada arwah dan ringankan bebannya tetapi tak sempat bertemu dengannya kerana sudah dijemput ilahi,” katanya.

Sementara itu, Yabang pula berkata, pemergian arwah Tia mengejutkannya kerana dia nampak macam sihat bila di luar.

“Saya dapat tahu berita mengenai arwah sakit di kumpulan WhatsApp tapi arwah tidak jawab panggilan bila saya hubunginya semalam.

“Dalam bidang seni pula, bagi saya arwah seorang yang berbakat dan mempunyai suara yang tersendiri dan saya juga suka dengan suaranya,” katanya.

Tia yang meninggal dunia kerana kanser hati selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kota Raja, di sini, jam 10.03 pagi ini.

Penyanyi lagu Farhana itu meninggalkan seorang balu, Suzan Ahmad. Tia dan Suzan mendirikan rumah tangga 14 tahun lalu, namun tidak dikurniakan cahaya mata.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *