KUALA LUMPUR : Bintang Projek: High Council, Naim Daniel mempertahankan aksi dicium pelakon gandingan dalam drama bersiri itu seperti yang kecoh di TikTok, baru-baru ini, sekadar perlakuan menunjukkan keakraban yang terjalin antara mereka, bukannya keterlaluan.
Naim menganggap tidak adil melabel dirinya songsang hanya disebabkan klip video itu sedangkan perbuatan mencium sahabat dianggap sunnah.
Ujar Naim lagi, dia sebenarnya cuba membuang stigma negatif masyarakat yang terlalu mudah menjatuhkan hukum, sedangkan, niatnya hanyalah menunjukkan kasih sayang terhadap sahabatnya.
“Kami menjalani penggambaran selama 60 hari. Lalu hubungan jadi sangat akrab.
“Tujuan saya muat naik video itu hanyalah sekadar kandungan, selain menunjukkan keakraban kami. Bagi saya, tidak menjadi kesalahan untuk mempamerkan kasih sayang kita kepada sesiapa sahaja.

“Bukan niat saya untuk menunjukkan diri songsang atau datang dari komuniti itu. Sebaliknya, saya cuba membuang stigma negatif dan mempamerkan kebebasan menzahirkan perasaan sayang pada semua orang,” katanya ditemui selepas menyantuni hampir 50 anak tahfiz Pusat Kebajikan Baitul Ulfah, Seri Kembangan pada Program Ramadan Kongsi Rasa – Chicken Royale, baru-baru ini.
Naim berkata, dia tidak menyangka drama Projek: High Council mencetuskan impak besar.
Ke mana-mana Naim pergi, ada yang memanggilnya ‘Ayam’ iaitu karakter dibawanya dalam drama berkenaan.
Naim mengaku sejak kemunculan dalam drama yang menjadi fenomena itu, dia dihujani tawaran berlakon.
Bagaimanapun, ketika ini, Naim yang juga popular sebagai penyanyi, enggan menerima projek drama panjang kerana ia mengurangkan impak drama Project: High Council.
“Untuk tahun ini, mungkin tidak. Tetapi untuk watak penampilan khas, saya sedia pertimbangkan.
“Contohnya, tawaran daripada Rashid Sibir untuk drama Tanah Kubur 2 di mana saya hanya muncul satu episod saja.
“Tetapi sebelum terima watak itu, saya bertanya kepada syarikat produksi jika membabitkan watak diazab, barulah saya terima,” katanya yang membawa watak penyanyi bernama Kamil yang suka menggunakan santau untuk menewaskan lawan.
Untuk drama itu, kata Naim, dia melakukan adegan dikafankan dan berada dalam keadaan itu selama dua jam.
Selain itu, dia melalui pengalaman dimandikan sebagai jenazah dalam drama terbabit.
“Saya sedikit pun tidak takut sebaliknya sengaja minta watak diazab. Seperti kita semua maklum, itulah tanda drama siri Tanah Kubur ikonik.
“Walaupun babak kecil, saya terima kerana dapat menyampaikan sedikit sebanyak dakwah kepada penonton,” katanya.
Menyentuh aktiviti sepanjang Ramadan, Naim memperlahankan aktiviti seni dengan memberi tumpuan kepada program berbuka puasa bersama anak yatim dan tahfiz.
Jika tidak terikat dengan aktiviti, Naim lebih suka berbuka sendirian di rumah.
Kredit: Berita Harian