Rumusan Artikel
- Pelakon Intan Najuwa mendakwa menerima ancaman bunuh daripada individu menggunakan akaun palsu.
- Individu tersebut didakwa mengganggunya dengan mesej peribadi hampir setiap hari sebelum beberapa bulan mendiamkan diri.
- Selain mengganggu Intan, individu itu juga menghubungi rakan-rakannya melalui mesej dan e-mel.
- Individu berkenaan dikatakan menghubungi pejabat Kuala Lumpur Polo Club setiap hari untuk mencari Intan dan mengancamnya.
- Intan Najuwa telah meminta individu tersebut menghentikan gangguan dan ancaman terhadap dirinya.
- Pelakon itu memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang jika gangguan berterusan berlaku.
Pelakon Datin Intan Najuwa mendedahkan dirinya berdepan gangguan berulang daripada seorang individu yang didakwa menggunakan akaun palsu, sehingga menerima ancaman bunuh.
Menurut Intan, individu terbabit kembali mengganggunya selepas beberapa bulan mendiamkan diri, malah sebelum ini didakwa menghantar mesej peribadi (DM) hampir setiap hari.
Intan Najuwa Diganggu Di DM, Emel
Lebih membimbangkan, Intan mendakwa individu berkenaan turut menghubungi rakan-rakannya menerusi mesej peribadi dan e-mel.
Malah, individu terbabit dikatakan turut menghubungi pejabat Kuala Lumpur Polo Club hampir setiap hari bagi mencari dirinya.
“Dia muncul balik selepas berbulan-bulan mendiamkan diri. Sebelum ini, individu ini mengganggu saya hampir setiap hari melalui mesej peribadi (DM).
“Bukan saya sahaja, malah dia turut menghantar mesej peribadi dan e-mel kepada semua rakan saya. Sampai tahap dia hubungi pejabat Kuala Lumpur Polo Club hampir setiap hari untuk mencari saya, menuntut untuk bercakap dengan saya dan mengugut saya dengan pelbagai perkara.”
Intan turut mendakwa individu di sebalik akaun palsu tersebut merupakan seorang lelaki dan kembali muncul pada Khamis dengan komen yang didakwa mengandungi ancaman untuk membunuhnya.
“Dan ya, individu di sebalik akaun palsu ini ialah seorang lelaki. Hari ini (Khamis) dia muncul semula, tetapi kali ini dengan komen yang mengancam untuk membunuh saya,” dedahnya.
Intan Najuwa Ambil Tindakan Undang-Undang
Dalam pada itu, Intan meminta individu terbabit menghentikan segala bentuk gangguan dan ancaman yang didakwa telah menjejaskan privasi serta keselamatan dirinya.
Pelakon itu turut memberi amaran bahawa dia tidak teragak-agak membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya gangguan tersebut berterusan.
“Kepada sesiapa sahaja di sebalik akaun palsu ini, tolong hentikan perbuatan ini dengan segera. Saya sudah tidak tahan lagi dengan gangguan, ancaman, serta pencerobohan terhadap privasi saya.”
Intan menegaskan ancaman bunuh dan gangguan berterusan merupakan perkara serius serta memaklumkan dirinya mempunyai hak untuk melindungi keselamatan diri, privasi dan keluarganya.
“Harap maklum bahawa ancaman bunuh dan gangguan berterusan adalah perkara yang serius. Jika saya membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang, anda mungkin berdepan dengan akibat undang-undang yang berat.”
“Saya mempunyai hak sepenuhnya untuk melindungi keselamatan diri, privasi, dan keluarga saya. Perkara ini mesti dihentikan,” katanya lagi.