Kuala Lumpur : Pelakon Mazlina Hassan Nodin atau Lana Nodin, 46, memaklumkan sudah tiba masa untuknya fokus berlakon sebagai punca pendapatan dan bukan lagi mencari populariti.
Menurutnya, perubahan usia juga menyaksikan dia tidak lagi memburu watak-watak popular seperti dahulu, sebaliknya memilih watak yang memberi impak terhadap karier lakonannya.
“Saya tidak kisah perkara itu (dilupakan peminat) kerana dalam fasa sekarang ini bukan lagi untuk mencari populariti tetapi mengumpul rezeki.
“Saya berlakon kerana minat, kalau ada tawaran berlakon dan watak itu sesuai, Insya-Allah saya tak akan sia-siakan kerana ia adalah rezeki.
“Saya pun tidaklah menyepi daripada dunia lakonan, malah masih menerima tawaran yang sesuai dengan keadaan saya sekarang,” katanya.
Lana berkata, memandangkan dengan statusnya sekarang, dia perlu memilih tawaran yang tidak mengambil masa terlalu lama.
“Ada sahaja tawaran berlakon yang saya terima. Malah beberapa drama juga sedang dipertimbangkan.
“Tapi, saya tak boleh terlalu aktif. Bukan tak nak, tapi selain memilih watak mengikut kesesuaian masa, saya juga perlu memilih karakter yang sesuai dengan penampilan sekarang,” katanya.
Sebagai pelakon, Lana mahu menjadi versatil dan hanya memberikan tumpuan kepada watak belum pernah dilakonkan sebelum ini.
“Seperti baru-baru ini saya melakonkan watak pesakit HIV. Watak itu berbeza dengan watak yang saya lakonkan sebelum ini.
“Saya memang mengintai watak sebegini. Saya sudah 20 tahun berlakon, kalau boleh sekarang ini berilah saya watak yang berlainan. Saya sedar hakikat ini.
“Watak jenis itulah yang membuka mata ramai pihak terhadap bakat lakonan saya yang sebenar,” katanya.
Pada masa sama, dia mahu menunjukkan kepada penerbit yang meragui kemampuannya membawa watak berat.
“Namun saya percaya mereka sedar saya sebenarnya mampu melakukannya. Contohnya watak pesakit HIV, memang mencabar kerana menuntut saya untuk mengalirkan air mata setiap masa.
“Sebagai pelakon, pada tahap ini, saya hanya mahu mencabar kebolehan lakonan saya. Jadi pasti saya terima kalau ada lagi watak berat dan mencabar, sudah-sudahlah berikan saya watak antagonis atau penyondol,” katanya.
Berkongsi kehidupan rumah tangga pula, Lana kini banyak menghabiskan waktu dengan keluarga, menguruskan perpindahan ke rumah baharu.
“Dalam masa yang sama, saya juga perlu menguruskan anak-anak kerana suami sedikit sibuk setelah dilantik menjadi Pengarah Pasukan Bola Tampar Malaysia.
“Sebelum ini suami saya banyak masa di rumah menjaga anak-anak sementara saya bekerja, namun sekarang keadaan bertukar sebaliknya.
“Dalam masa yang sama, kami sekeluarga merancang untuk pulang ke Amerika Syarikat (AS) bagi melawat keluarga. Agak lama, dua tahun juga saya tidak pulang menjenguk mereka.
“Bapa mertua saya pun sudah berusia 84 tahun, jadi saya perlu menziarahi mereka. Kami sekeluarga terpaksa susun jadual kerana anak-anak masing-masing sekolah,” katanya.
Lana berkahwin dengan atlet skuad bola tampar Olimpik Amerika, David McKienzie pada 15 Mei 2015 dan dikurniakan dua anak.