MAKAN Malam Amal Legends yang menghimpunkan penggiat seni dan artis tempatan kembali ke Sabah buat kali kedua bagi mengumpul dana untuk Tabung Kebajikan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).
Memasuki siri kelima, acara ini bakal berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 6 November ini sebagai usaha membantu karyawan dan penggiat industri seni yang memerlukan.
Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez berkata, membantu karyawan seni perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama kerana industri seni dibangunkan oleh ramai individu.
“Industri seni bukan hanya terdiri daripada mereka yang berada di atas pentas. Di belakang setiap persembahan ada begitu ramai karyawan yang bekerja keras daripada pemuzik, kru teknikal, penulis, penerbit, pekerja produksi sehinggalah mereka yang berada di belakang tabir.
“Melalui Makan Malam Amal Legends, kami mahu menggunakan kekuatan industri hiburan untuk mengumpul dana dan membantu karyawan yang memerlukan.
“Ini tanggungjawab kita bersama untuk menjaga mereka yang sudah menyumbang kepada perkembangan seni dan hiburan negara,” katanya pada sidang media Makan Malam Amal Legends, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi Karyawan Datuk Khadijah Ibrahim.
Freddie berkata, pemilihan semula Sabah buat kali kedua selepas 2024 dilihat sebagai peluang untuk mengeratkan hubungan dengan komuniti seni di Negeri Di Bawah Bayu berkenaan.
“Selain membawa kembali konsep malam amal kepada masyarakat Sabah, edisi 2026 turut memberi penekanan kepada penggiat dan artis dari Sabah, sekali gus memberi penghormatan kepada bakat tempatan.
“Kehadiran barisan artis daripada pelbagai generasi juga diharap dapat mewujudkan malam yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi menjadi ruang untuk meraikan perjalanan seni, persahabatan dan semangat kebersamaan dalam industri,” katanya.
Barisan artis terkenal yang bakal membuat persembahan ialah Datuk Ramli Sarip, Datuk Zainal Abidin, Khadijah Ibrahim, Bella Astillah, Velvet Aduk, Ayu Damit dan Hairee Kool serta penampilan istimewa, kumpulan K.O.I.
Kata Freddie lagi, Makan Malam Amal Legends juga membawa mesej bahawa populariti dan kejayaan dalam industri seni boleh digunakan untuk sesuatu yang lebih bermakna.
“Setiap meja yang ditempah, setiap tiket yang dibeli dan setiap sokongan yang diberikan membantu meneruskan usaha kebajikan untuk golongan karyawan yang memerlukan,” katanya.
Makan Malam Amal Legends turut membuka peluang kepada syarikat korporat dan rakan industri untuk menyumbang kepada Tabung Kebajikan Karyawan bagi membantu golongan karyawan yang memerlukan.