Berbekalkan wang RM1,000, Asheed merancang pusingan modal selama empat hingga lima bulan untuk menggerakkan bisnes dadih ini.

“Memang betul saya boleh bertahan dalam tempoh terbabit, tapi selepas itu merudumlah bisnes. Habis, van dan rumah pun dia tarik balik. Jadi kita nak bergerak macam mana?

“Sebenarnya bisnes dadih ini mula-mulanya okey dan boleh bertahan. Cuma dengan apa yang ada, kita tak boleh melangkah jauh, nak ‘upgrade’ (naik taraf) pun tak boleh.

“Kalau ada pada tahap itu saja, lama-lama semangat pun jadi luntur. Kalau nak naik, kena ada ‘upgrade’. Pada masa sama, kerja saya pun tiada gaji dan sebagainya,” katanya.

Katanya, sebelum ini sebenarnya dia sudah berjanji pada diri sendiri tidak akan menjejakkan kaki semula ke ibu kota.

“Padahal masa nak datang, dalam hati saya kata tak nak jejak Kuala Lumpur lagi. Kita rasa macam serik, tetapi disebabkan pelan bisnes yang sudah diatur maka saya pun ikut sahaja.

“Penyediaan dadih bermula dari proses masak dan pemasaran. Saya hanya bersama kawan yang diajak membantu. Kami pasarkan di Pasar Keramat, (Kuala Lumpur) kedai-kedai runcit letak dalam 10, 20 paket dan lepas tiga hari ambil bil dan bayaran,” katanya.

Asheed bagaimanapun melihat penghijrahan kali ini ada hikmahnya kerana akhirnya dia dapat juga merakam album dengan kumpulan Def Gab C.

“Selepas bisnes dadih jatuh merudum, akhirnya saya masuk Central Market semula dan bekerja dengan syarikat lain pula. Suatu hari Jemboo (pemain gitar) datang jumpa dan tanya sama ada saya ada masa lapang.

“Jemboo beritahu ada audition dengan Joe Wings (ketika itu) dekat studio Joe untuk band mereka. Saya pun jawab okey. Sebelum itu, memang pelan nak audition untuk Wings,” katanya.

ASHEED (kanan) bersama Allahyarham Mael Real X (tengah) dan Lee Space.
ASHEED (kanan) bersama Allahyarham Mael Real X (tengah) dan Lee Space.

Katanya, Wings ketika itu tiada vokalis sebelum kemasukan Mel, dan dia mendapati pelan asalnya bertembung apabila uji bakat dengan Joe untuk band lain bersama Jemboo.

“Tapi saya pun pergi audition. Lepas selesai, Joe tanya saya tinggal mana dan apabila diberitahu saya tinggal di Pandan Perdana, dia suruh pindah duduk di studionya, jaga studio.

“Lagi senang sementara nak rakam lagu. Kira jadi dan esoknya saya ambil barang di Pandan Perdana dan pindah ke studio di belakang pejabat BMG di Segambut,” katanya.

Menurutnya, apabila Joe bermain gitar dan mengiringi nyanyiannya menerusi lagu Sweet Child O’ Mine menyebabkan rasa gemuruh kerana menyedari nama besar gitaris terbabit.

“Tapi kita anggap macam jamming biasa. Macam saya, suka santai, suka live, yang real. Kalau tekanan memang tak syok, kita nak perform jadi tak best.

“Lepas itu bermulalah praktis di situ dan seterusnya rakam album di studio Rediffusion depan Hospital Kuala Lumpur. Lebih kurang empat bulan juga rakaman.

“Gaya suara saya memang asal dari rakaman album kedua yang gagal semasa sebelum saya balik kampung. Waktu itu saya sudah nampak macam gaya suara itu yang sesuai dengan saya.

“Bila Joe jaga studio, dia pun ada tone lebih kurang dengan saya. Rasanya Joe pun ada bentuk teknik sendiri cara menyanyi, tunduk macam mana, keluar sound macam mana, angkat kepala macam mana.

“Jadi saya cuba buat ikut guide yang diberikan. Lenggok-lenggok itu saya sudah ada, cuma nyaring dia itu orang dengar macam keluar suara hidung

“Dekat situlah. Maknanya Joe banyak bantu ‘create’, jadi saya mudah faham, memang kena. Macam arwah JS Kevin dengan Mael yang serasi bekerjasama,” katanya.

ASHEED (kiri) bersama Bandi Amuk.
ASHEED (kiri) bersama Bandi Amuk.

Kini hampir 30 tahun ditubuhkan, banyak kejayaan dikecapi oleh Def Gab C. Album sulung mereka berjudul Citarasa pada 1997 sebahagian lagunya ditulis dalam bahasa Inggeris.

Single Ibukota Cinta yang dimuatkan dalam album terbabit berjaya meledakkan nama mereka.

Def Gab C terus mencipta kejayaan dengan album kedua, Skala pada 1999. Lagu Cinta Sakti berjaya ‘menangkap’ pendengaran umum, sekali gus mengukuhkan lagi posisi kumpulan itu.

Tahun 2000 menyaksikan mereka muncul dengan album Remifasolatido yang turut mencatat kejayaan. Lagu Marilah Maria mengangkat populariti Def Gab C pada aras lebih tinggi.

Album keempat, Merah: Retrospektif Prospektif diterbitkan pada 2002.

Mereka seterusnya menghasilkan beberapa album penuh lain seperti Rawpada (2004), RWD0106 dan The Best Of Def-Gab-C (2006) dan Neolithic (2011).

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *