APA yang diimpikan tidak menjadi kenyataan. Masalah hutang penerbit dengan studio Booty Studio membuatkan ‘master’ rakaman (fail asal) tidak dapat dikeluarkan.
Asheed dan anggota Mahsuri hanya mampu berputih mata apabila usaha mereka akhirnya sia-sia tanpa dapat diselamatkan.
“Projek ini sebenarnya diuruskan oleh Allahyarham A Ali. Lagu-lagunya pun ada dalam album ini. Semua jadi berterabur. Bila jadi macam itu, pengurus pun lari, memang kecewalah.
“Semua anggota kemudian bawa haluan masing-masing. Saya masuk dalam Central Market (Pasar Seni) dan jumpa rakan dari Kedah juga yang pada masa itu sudah bertapak di situ.
“Saya buat satu band dengan pemain dram baru dan pada masa sama bekerja di Central Market. Kami selalu jamming bersama dan akhirnya dapat offer daripada satu syarikat,” katanya.
Katanya, mereka cuba menampilkan konsep muzik country dengan merekod muzik sebelum memasukkan vokal sehingga lagu ketiga.”
“Tiba-tiba penerbit beritahu kita kena cari vokalis lain, dia kata macam tak sesuai, tetapi dia hanya beritahu budak-budak (ahli band) bukan saya menyebabkan timbul konflik.
“Namun, ahli band suruh penerbit itu menyanyi sendiri kerana mereka mahu mengikut saya. Di sini, dapat rasa semangat begitu kuat, ikatan persahabatan yang akrab dan selepas itu kami terpisah,” katanya.
Menurutnya, ketika itu dia mula rasa ‘goyang’ kerana sudah dua kali berusaha buat rakaman album, tetapi tidak menjadi dan masa terus berjalan.
“Daripada tahun 1991 datang ke Kuala Lumpur sehinggalah (menetap) lebih setahun dan akhirnya hujung 1993 saya buat keputusan balik kampung.
“Sebenarnya keluarga tak kata apa-apa dan tak suruh balik kampung pun. Kita yang rasa, pasal apa susah sangat ini? Peluang itu dapat, tapi dipanggil macam tak ada tuah.
“Harapan itu tak ada lagi. Rambut panjang masa itu, saya cukur jadi botak licin dan kemudian naik bas balik kampung,” katanya.
Asheed berkata, dia kemudian mula rasa seronok tinggal di kampung tanpa sebarang kerja selama tiga tahun disebabkan tiada pekerjaan yang sesuai.
“Akhirnya saya bekerja di satu lokasi iaitu Pekan Rabu (Alor Setar). Itu pun sebab kawan ayah saya ada kedai menjual periuk, tetapi saya rasa macam tak kena pula saya jual periuk di situ.
“Rasa macam ini kerja orang tua-tua. Tak sampai empat bulan, lepas raya, saya cakap pada ayah, nak berhenti. Saya pergi jumpa seorang tauke buat susu dadih untuk minta kerja.
“Arwah abang Hassan kata nak buka cawangan di Kuala Lumpur dan tanya saya sama ada pernah kerja di Kuala Lumpur. Saya jawab ya dan dia minta saya kendalikam cawangan Kuala Lumpur.
“Saya tanya dia, fasiliti apa yang akan diberikan dan dia kata bagi sebuah van, rumah dekat Cheras dan modal RM1,000. Jumlah itu bagi saya sudah memadai ketika itu,” katanya.
ESOK: Langgar prinsip enggan datang lagi ke Kuala Lumpur