KUALA LUMPUR: Penyanyi rock era 1990-an, Nizam Laksamana mengakui berdepan cabaran untuk menjual meja bagi ‘showcase’ amal Jiwa Rasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan 5.0 akibat lambakan konsert sejak kebelakangan ini.

Nizam atau nama sebenar, Mohd Nizam Pechok, 59, ketika dihubungi berkata, setakat ini hampir 50 daripada 60 meja sudah berjaya dijual.

“Sekarang ini kami masih jual baki meja untuk habiskan, insya-Allah. Kita cuba tapi agak susah juga nak menjual dalam keadaan sekarang.

“Kami agak ‘struggle’ juga buat penjualan sebab ‘show’ banyak konsert, tapi Alhamdulillah, ‘showcase’ akan jadi,” katanya.DISYORKAN

Menurutnya, persiapan penganjuran showcase sudah mencapai tahap 80 peratus menjelang acara, Sabtu ini.

“Jualan (meja) masih berjalan, sikit lagi. Susun atur artis-artis kita sudah siapkan, sistem bunyi semua kita sudah siap. Semua sudah okay. Tinggal lagi kita nak masuk ‘bump in’ peralatan, Jumaat ini,” katanya.

Mengulas mengenai harapan, Nizam menegaskan siri kelima ‘showcase’ amal ini diharap lancar.

“Saya berharap agar semuanya sukses. Perjalanan ‘showcase’ lancar sebab tak banyak kita nak buat. Cuma kita nak kesempurnaan majlis, itu yang paling penting,” kongsinya.

‘Showcase’ berkenaan yang dibarisi lapan artis jemputan termasuk Zamani, Tam Spider, Haiza, Hazama dan DJ Muaz ini bakal dianjurkan di Noah Grand Ballroom Melawati di sini, pada Sabtu ini.

Acara berkenaan memfokuskan kepada misi kutipan dana bagi membantu golongan artis yang memerlukan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kebajikan pesakit kanser dan kanak-kanak autisme.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *