Kuching : Kemenangan album [RE.HAB] milik Aisha Retno sebagai Album Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM 25) dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh membabitkan kekuatan lagu, susunan muzik dan lirik.
Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Juri AIM 25, Mohd Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai.
Menurutnya, barisan juri yang menilai secara total mengambil kira pelbagai aspek dalam sesebuah album sebelum keputusan dibuat.
“Penilaian dibuat secara keseluruhan. Ia bukan hanya berdasarkan lagu semata-mata, sebaliknya melihat keseluruhan karya berkenaan.
“Daripada proses rakaman, ‘mixing’, ‘mastering’ dan apa sahaja yang berkaitan dengan pencalonan, semuanya diambil kira sebelum penilaian dibuat terhadap sesebuah karya,” katanya pada sidang media sebaik berakhirnya AIM 25 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di Kuching.
Mengulas keputusan keseluruhan AIM 25, Ajai berkata, setiap kategori dinilai dengan teliti oleh barisan juri yang dilantik dengan mutu karya menjadi antara aspek utama yang diberi perhatian.
“Keputusan ini adalah daripada barisan juri yang kita lantik untuk AIM 25. Saya fikir ia keputusan yang baik. Mutu yang bagus itulah yang perlu kita kedepankan.
“Sebenarnya, semua kategori mencabar kerana proses penelitian terhadap setiap pencalonan dilakukan dengan sangat terperinci. Penilaian bukan sahaja melihat mutu vokal atau lagu, tetapi merangkumi pelbagai aspek,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM 25, Rosmin Hashim, berkata jumlah dan jurang markah setiap calon tidak dapat didedahkan kerana proses pemarkahan dikendalikan auditor.
“Kita hanya tahu lima pencalonan terbaik dan perbezaan markah kerana selebihnya adalah rahsia yang disimpan auditor,” katanya.
Menurut Rosmin, persaingan paling sengit dilihat dalam kategori Lagu Pop Terbaik yang menyaksikan jumlah pencalonan tinggi, sekali gus menjadikan usaha untuk menembusi kelompok lima terbaik bukanlah sesuatu yang mudah.
Terdahulu, malam kemuncak AIM 25 di BCCK menampilkan persembahan barisan artis popular tanah air termasuk Siti, Adira Suhaimi bersama anak sulungnya, Anggrek dan Akim Ahmad.
Tidak ketinggalan Alena Murang, Amir Masdi, Azlan Typewriter, Bunga, Estranged, Firdhaus, Hael Husaini, Hafiz Suip, Hujan, Luqman Podolski, Marsha Milan dan Mimifly serta penyanyi Indonesia, Fajar Noor.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
AIM 25 dikendalikan gandingan pasangan selebriti popular, Awal Ashaari dan Scha Alyahya serta penampilan hos TVS, Sheera Abang Mansor.
Edisi Jubli Perak AIM 25 direalisasikan menerusi sokongan kerajaan, rakan strategik serta rakan kerjasama industri muzik yang berganding bahu membawa anugerah muzik terulung itu ke Sarawak buat kali pertama.