KAJANG: Pemain gitar kumpulan popular era 1960-an, The Wanderers iaitu Talhah Idris, 75, dirawat di Hospital Kajang di sini, sejak dua minggu lalu akibat serangan angin ahmar atau strok.
Anak keempatnya, Izwan, 47, berkata, selepas era kegemilangan muzik 1960-an berakhir, ayahnya aktif bermain muzik atas jemputan beberapa pihak termasuk bersama kumpulan itu sendiri.
Bagaimanapun, karier muziknya terhenti selepas diserang angin ahmar buat kali pertama, tahun lalu.
“Semasa usianya lebih 60 tahun pun, ayah masih lagi aktif dalam muzik. Tetapi, selepas dia ‘collapse’ (rebah) kali pertama setahun sudah, dia terus berhenti main muzik.
“Ayah ada darah tinggi dan bacaannya ketika itu 230 menyebabkan dia tumbang dan dimasukkan ke Hospital Kajang. Kejadian berlaku ketika dia berada di rumah di Beranang.
“Selepas beberapa hari, ayah dibenarkan keluar hospital. Keadaannya waktu itu masih okay, cuma dia nak bergerak agak perlahan sebab dia kena strok bahagian kanan badan,” katanya.
Izwan berkata demikian ketika menerima lawatan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) Datuk Freddie Fernandez yang menziarahi Talhah dan menyerahkan sumbangan.
Menurut Izwan, ayahnya ketika itu masih boleh bergerak walaupun sukar. Bagaimanapun, serangan strok kali kedua baru-baru ini membuatkan beliau terus terlantar.
“Jadi, sekarang ayah hendak bergerak pun susah. Selepas itu, kita sudah mula pakaikan lampin pakai buang. Ayah sudah tidak boleh urus diri sendiri dan kami kena uruskan segalanya.
“Ayah didapati ada bengkak pada bahagian usus kanan dan sudah menjalani proses ultrasound. Kami sedang tunggu keputusan selanjutnya.
“Apa sahaja keputusan dari doktor, kami sedia terima. Kami berharap sebenarnya perkara ini tidak lebih teruk. Kalau dah teruk itu, kita reda Itu sahaja,” katanya.
Selain Talhah, The Wanderers turut dibarisi oleh J Sham sebagai penyanyi.
Izwan berkata, rakan-rakan penggiat seni boleh melawat ayahnya di Wad 7 Katil 10, Hospital Kajang.
Talhah mempunyai 11 anak menerusi tiga perkahwinan dan kini kekal bersama isteri ketiga.