Kuala Lumpur : Penyanyi, pelakon dan pengacara, Azeva Natassha meluahkan rasa terharu dan gembira apabila diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program Borneo Rising menggantikan Sherry Alhadad bagi tempoh dua minggu.

Azeva, 25, mengendalikan program realiti TV berkenaan pada konsert mingguan semalam dan bakal meneruskan tugas itu pada Ahad depan dan berharap gandingannya bersama Zizan Razak diterima penonton.

“Saya harap masyarakat dapat menerima kehadiran saya untuk menggantikan seorang pengacara yang sangat hebat iaitu Kak Sherry, seterusnya bergandingan dengan Abang Zizan.

“Saya berharap segala-galanya berjalan dengan lancar. Jika ada sebarang kesilapan, saya memohon maaf dan akan berusaha untuk memperbaiki diri kerana saya masih baharu dalam bidang pengacaraan,” katanya.

Ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak yang menyamakan gaya pengacaraannya seperti pengacara dan penyanyi Elly Mazlein, Azeva memberitahu dia bersikap terbuka dan memilih untuk menjadi diri sendiri.

“Saya bersikap terbuka dengan apa-apa sahaja pandangan orang. Sejujurnya, saya jarang menonton gaya pengacara lain. Apabila mengacara, saya hanya jadi diri sendiri tanpa meniru sesiapa.

“Saya belajar asas pengacaraan daripada Abang Nabil yang banyak memberi tunjuk ajar mengenai tatacara di pentas, selain bantuan daripada Uncle AC (Datuk AC Mizal) dan Pak Nil (Datuk Aznil Nawawi) pada awal kemunculan saya.

“Pihak Astro juga berpesan supaya saya menjadi diri sendiri, santai dan menikmati setiap detik di pentas. Itulah yang saya praktikkan,” katanya.

Bercakap mengenai detik awal tawaran berkenaan, Azeva mendedahkan pihak penerbitan menghebahkannya sewaktu dia masih mengacarakan program Big Stage.

“Mereka terus tawarkan sewaktu saya di Big Stage lagi untuk tempoh dua minggu. Kebetulan saya tiada sebarang komitmen lain pada hujung dua tarikh itu.

“Walaupun ada tawaran lain, saya memilih untuk menolaknya kerana mahu memberi fokus sepenuhnya kepada tugas pengacaraan ini. Bukan mudah untuk mendapat peluang rezeki sebegini,” katanya.

Azeva menggantikan Sherry bagi memberi laluan kepada pelakon itu menyempurnakan pementasan Teater Muzikal Mansur & Liu yang dibintanginya dan dipentaskan di Istana Budaya bermula 10 hingga 20 September.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *