Peminat genre seram tempatan disajikan dengan sebuah karya penuh misteri menerusi Bisikan Pontianak.
Diterbitkan oleh Golden Adventure Creative Sdn Bhd, karya ini menggabungkan elemen seram, misteri serta konflik kekeluargaan yang sarat emosi di bawah arahan pengarah berpengalaman, Faizul A Rashid bersama penulis skrip, Sophilea.
Bisikan Pontianak mengisahkan sebuah keluarga yang terikat dengan rahsia gelap akibat perjanjian dengan makhluk ghaib yang diwarisi turun-temurun.
Kisah bermula apabila sebuah kampung terpencil mula diganggu dengan kejadian aneh ia termasuk tangisan misteri pada waktu malam, kematian penuh tanda tanya serta kemunculan kelibat pontianak yang menghantui penduduk.
Segala penceritaan berpusat di sebuah rumah kayu lama milik Suraya lakonan Diana Danielle, seorang ibu yang dibesarkan anak-anaknya selepas ditinggalkan suami, Arfan (Datuk Remy Ishak).
Namun, kepulangan Arfan selepas bertahun-tahun menghilang secara tidak langsung membongkar rahsia gelap yang selama ini tersembunyi.
Selain Diana dan Remy naskhah ini turut dibintangi barisan pelakon terkenal tanah air seperti Nadia Brian, Kazar Saisi, Aziz M Osman, Riezman Khuzaimi, Wafariena, Merah Muhaimin dan Nur Falisha Naira.
Selain menyajikan babak cemas dan mendebarkan, Bisikan Pontianak yang disiarkan di saluran DEGUP Unifi TV Original sejak 31 Ogos lalu, turut membawa mesej mendalam mengenai konflik kekeluargaan serta perjuangan untuk memutuskan kitaran sumpahan silam.