Kuala Lumpur : Walaupun kurang sihat, Amyza Aznan, 50, tetap kuatkan diri untuk menjayakan persembahan minggu kedua Kilauan Emas Selebriti baru-baru ini yang disertai bersama sembilan lagi artis ‘otai’ lain.

Menurut Amyza, keadaan kesihatannya sedikit terganggu akibat demam dialami sejak minggu lalu dan sudah ditangani secara makan ubat sahaja.

“Ya, memang (demam) sudah lama. Saya makan ubat sahaja,” katanya menerusi kiriman mesej ringkas di WhatsApp.

Pada persembahan malam Sabtu lalu, Amyza yang tampil menggayakan gaun labuh berwarna biru menghiburkan penonton dengan lagu Bulan Ditutup Awan nyanyian asal Rokiah Wanda.

Barisan peserta lain yang bersaing ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Mubarak Majid, Rahim Omar, Rashdan Baba, Fazlina Ahmad Daud, Zila Bakarin, Khaty Azean dan Maria Tunku Sabri.

Dalam masa sama, Amyza turut berhadapan ujian Yang Maha Esa apabila suaminya, Khairil Izhar Mohd Nazir, 51, kini menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Jantung (CCU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Khairil Izhar dimasukkan ke HKL pada 23 Ogos lalu dan keadaannya kritikal serta terpaksa ditidurkan akibat paru-paru berair dan tekanan darah yang tinggi.

Bagaimanapun, difahamkan Khairil Izhar sudah sedar dan membuka mata serta menggerak-gerakkan tangan walaupun masih menggunakan bantuan tiub pernafasan.

Ujar Amyza mengenai keadaan suaminya memaklumkan ada sedikit perkembangan positif ditunjukkan walaupun masih dalam pemantauan rapi doktor di CCU HKL.

Katanya, kini urusan penjagaan Khairil Izhar juga dilakukan pihak hospital sepenuhnya, dan kalau keluarga datang melawat pun kena mengikut masa yang ditentukan kerana dalam pemantauan rapi.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *