Kuala Lumpur : Pengacara dan pelakon, Myra Natasya berasa lega apabila tidak lagi dihimpit dengan pelbagai isu seperti sebelum ini.
Myra atau nama sebenarnya, Yusmyra Natasya Abdullah, 31, berkata, dia sekarang lebih tenang dan fokus kepada kerjayanya sebagai jurulatih ‘cheerleading’ (kumpulan sorak) untuk pasukan kebangsaan.
“Team Malaysia dianggotai oleh peserta dari peringkat umur 15 hingga 19 tahun dan saya seronok dapat membentuk mereka kerana ia memerlukan disiplin yang tinggi.
“Peserta-peserta saya pun memberikan tumpuan penuh serta komitmen terbaik dalam setiap tunjuk ajar dari saya,” katanya kepada Harian Metro.Advertisement
Anak kepada penyampai radio ini berkata, mereka akan terbabit dalam kejohanan Asia Open Cheerleading Championship 2026 & KBS KLAS Cheerleading Championship 2026 yang akan berlangsung di Paradigm Mall, Petaling Jaya pada 11 Julai ini.
“Kejohanan ini adalah anjuran Persatuan Cheerleading Malaysia (CHARM). Pasukan kendalian saya diundang untuk membuat persembahan dalam pertandingan ini.
“Kejohanan ini akan disertai oleh banyak sekolah rendah, menengah dan institut pengajian tinggi. Orang ramai dijemput hadir menyaksikan persembahan istimewa ini,” katanya.
Menurutnya, CHARM Cheerleading Champonship 2026 menghimpunkan pasukan-pasukan cheerleading dari seluruh Malaysia untuk bersaing di peringkat kebangsaan.
Acara ini menjadi platform penting dalam pembangunan atlet serta pemilihan bakat bagi mewakili negara ke pertandingan antarabangsa.