Petaling Jaya : “Mengenai perkara itu, saya tak boleh cakap apa-apa,” kata pelakon Azar Azmi yang memilih untuk mengunci mulut daripada mengulas kes mahkamah membabitkan suaminya, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri.
Azar, 37, menjelaskan dia mengambil pendekatan itu selepas mendapat nasihat daripada pihak tertentu bagi mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu prosiding perbicaraan dua pertuduhan dihadapi suaminya.
“Sebelum hadir ke mana-mana acara atau berjumpa dengan sesiapa, saya sendiri akan hubungi pihak tertentu sekiranya ada soalan-soalan berkaitan ini untuk dijawab.
“Jadi, memang tak boleh nak sentuh langsung sebab saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya.
Azar ketika ditemui pada majlis pelancaran Astro Fandom di D Theatre Malaysia, semalam turut menepis gosip liar yang mendakwa dirinya kini bertungkus lumus bekerja demi mengumpul wang jaminan untuk suaminya itu.
“Kenyataan itu saya tak pernah keluarkan. Tak ada, bukan saya. Salahlah itu. Sekarang ini saya hanya fokus mencari duit untuk menguruskan anak-anak,” katanya.
Terdahulu, Mohd Apri berdepan tindakan undang-undang atas dakwaan menipu seorang lelaki berusia 56 tahun membabitkan transaksi dalam talian berjumlah RM270,811 ke akaun seorang wanita.
Selain itu, dia turut didakwa memperdayakan seorang lagi mangsa berusia 49 tahun sebanyak RM23,120 kononnya bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk.
Beralih kepada perkembangan kerjaya, Azar bakal mengubati rindu peminat apabila kembali mewarnai skrin televisyen menerusi drama terbaharu, Bulan Henti Bicara di slot Megadrama Astro bermula 27 Julai ini.