PUTRAJAYA: Selepas lama menyepi, pelakon dan pengarah, Pekin Ibrahim membuat persiapan untuk kembali aktif dalam bidang lakonan dengan penampilan baharu.
Pekin atau nama sebenar, Mohd Iznan Ibrahim, 45, berkata berat badannya pernah mencecah 90 kilogram (kg) mengikut gaya hidup lama.
“Saya mahu kembali berlakon. Sebelum ini, penampilan saya agak berisi atau boleh dikategorikan sebagai ‘bulat’. Berat badan saya ketika itu mencecah 90 kg.
“Lagipun, saya berehat lama kerana tidak merancang untuk berlakon dan mahu memberi tumpuan kepada perniagaan serta membesarkan anak-anak.DISYORKAN
“Tetapi, sekarang anak-anak sudah semakin besar, mereka berusia empat dan dua tahun. Jadi, tahun ini saya merancang untuk kembali berlakon filem,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu dan video muzik baharu kumpulan X-Factor berjudul Walu Walu di sini, baru-baru ini.
Bintang filem Kulit Wayang itu berkata, dia berjaya menurunkan kira-kira 20 kg dalam tempoh tiga bulan hasil dorongan dan sokongan isteri, Mona Allen.
“Berat badan terkini saya adalah 68 kg,” katanya.
Mengulas kaedah yang diamalkan sepanjang proses penurunan berat badan itu, Pekin mengurangkan pengambilan gula dan mengamalkan konsep makan sekali sehari (OMAD).
“Saya berhenti mengambil gula. Pada bulan pertama, saya kawal pemakanan dengan ketat dan makan dalam kuantiti sedikit.
“Masuk bulan kedua, saya hanya makan sekali sehari. Sehingga kini, saya masih tidak mengambil gula dan memulakan perjalanan ini sejak Ogos tahun lalu.
“Kali ini saya memang nekad untuk kurus kerana perlu membuat persiapan awal. Saya bimbang sekiranya penggambaran bermula dalam tempoh singkat dan pihak produksi tidak memberi masa yang cukup untuk membuat persediaan.
“Saya tidak mahu lambat membuat persiapan dan tidak mahu berdepan tekanan,” katanya.
Pekin mengakui pernah berada dalam zon selesa sehingga hampir membuat keputusan untuk tidak kembali berlakon.
“Sepanjang tidak aktif, saya memang fokus kepada perniagaan. Namun, saya masih terbabit dalam kerja belakang tabir seperti mengarah iklan televisyen (TV) dan Aidilfitri. Cuma, saya tidak berlakon.
“Sebenarnya, apabila sudah lama berehat daripada berlakon, saya menjadi malas untuk kembali ke set. Tambahan pula, badan saya sudah ‘bulat’ sehingga pada suatu tahap saya selesa dengan keadaan itu.
“Ketika itu, ramai yang tawarkan saya peluang berlakon, tetapi saya menolaknya. Saya tolak kerana mereka mungkin masih membayangkan fizikal saya seperti 20 tahun lalu, sedangkan ketika itu saya sudah gemuk. Jadi, saya tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya.