Berasal dari Sarawak dan kini menetap di ibu negara, The Yujo terus aktif menghasilkan karya baharu dengan pendekatan lebih eksperimental apabila tampil dengan single berjudul Bintang Di Langit.
Band yang dianggotai Huza Tahir, Adi dan Eman kini mempertaruhkan genre city pop yang dilihat agak jarang diketengahkan dalam industri muzik tempatan.
Menariknya, lagu berkenaan adalah hasil nukilan Huza yang turut bertindak sebagai pengarah serta penerbit video muzik rasmi single itu.
Menurut Huza, percubaan tampil dengan genre berbeza dibuat kerana mahu keluar daripada zon selesa selepas sebelum ini lebih dikenali dengan lagu berentak ‘alternative ballad rock’ seperti Mawar, Celaru, Ku Coba dan Pemilik.
Beberapa karya mereka sebelum ini turut dijadikan lagu latar drama tempatan antaranya Hazim & Iqbal, Andai Itu Takdirnya 2 dan Bayangan Lelaki Sempurna.
Katanya, Bintang Di Langit mengangkat kisah mengenai kebahagiaan dalam kehidupan pasangan di samping mengetengahkan identiti muzik yang lebih segar.
Pada masa sama, Huza berkata, mereka mahu mengekalkan kejujuran dalam berkarya tanpa terlalu mengikut arus semasa.
Selain aktif dalam muzik, setiap anggota The Yujo turut mempunyai kerjaya tetap dengan Adi bekerja dalam bidang geoteknikal, Eman pula sebagai ahli fisioterapi manakala Huza terbabit dalam produksi studio.
Menurut Huza lagi, nama The Yujo diambil daripada perkataan Jepun yang membawa maksud ‘persahabatan’, bertepatan dengan hubungan rapat mereka sebagai kumpulan.
Mereka kini dalam proses menyiapkan EP yang bakal memuatkan lima lagu baharu sambil giat memperkenalkan Bintang Di Langit di platform digital.