Program bual bicara popular, Women Talk kembali untuk musim ke-9 dengan menampilkan gandingan mantap pelakon popular, Diana Danielle dan bekas Miss World Malaysia, Nadia Heng sebagai hos baharu.
Membawa nafas lebih segar, program terbitan TV3 itu menemui penonton bermula 9 Mei ini, pada setiap Sabtu jam 5 petang.
Penerbit eksekutifnya, Nur Irjuana Mohd Ishar berkata, musim kali ini tetap mengekalkan identiti perbualan berani dan jujur yang merangkumi pelbagai topik relevan dengan realiti kehidupan wanita masa kini.
Program yang mendapat sentuhan Datin Elaine Daly selaku penerbit diperkenalkan secara rasmi menerusi acara ‘Brunch with Women Talk’ yang berlangsung di Orchid Conservatory, The Majestic Hotel Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengulas mengenai hala tuju musim terbaharu, Elaine menjelaskan bahawa ‘Women Talk’ musim ini akan memfokuskan kepada pemerkasaan wanita dan gaya hidup termasuk segmen wanita dalam teknologi serta perniagaan.
“Matlamat utama kami adalah untuk meluaskan capaian penonton. Kami mahu program ini tidak hanya dianggap sebagai tontonan golongan urban, tetapi turut sampai ke peringkat luar bandar agar lebih ramai wanita tahu bahawa mereka mempunyai platform untuk bersuara dan belajar antara satu sama lain.
“Setiap musim, kami akan berbincang dan melakukan sumbang saran bagi memastikan topik yang diketengahkan sentiasa segar mengikut isu semasa seperti isu larangan media sosial bagi kanak-kanak bawah 18 tahun yang pernah dikupas sebelum ini,” katanya lagi.
Kehadiran Diana dilihat mampu menyuntik elemen emosi dan keaslian berdasarkan pengalamannya sebagai anak seni, manakala Nadia pula menonjolkan sisi profesional serta kemahiran komunikasi yang cukup versatil.
Tambah Elaine pemilihan personaliti ini dibuat berdasarkan dinamika, kecantikan dan kebijaksanaan mereka yang selari dengan tradisi program itu dalam mengangkat wanita berwibawa sebagai hos.
“Bukan mudah untuk memujuk mereka menyertai musim ini, terutama Diana yang pada mulanya agak keberatan kerana jarang menjadi pengacara. Namun, saya yakin mereka adalah gandingan mantap dalam program ini.
“Diana mempunyai pengaruh dan pengikut tersendiri, manakala Nadia pula sangat berpengalaman. Gabungan ini memberikan variasi kepada penonton kami,” katanya.
Dalam pada itu, Nadia menyifatkan pembabitannya kali ini sebagai satu pengalaman berbeza berbanding tugasan pengacaraan sebelum ini yang lebih tertumpu kepada gaya hidup dan fesyen.
“Kali ini saya berpeluang untuk ‘menggali’ pemikiran wanita hebat dan belajar daripada perjalanan hidup mereka. Saya juga teruja untuk meneroka topik yang di luar zon selesa saya,” katanya.
Diana pula menyifatkan pembabitannya dalam musim baharu ini adalah sebagai satu usaha mencabar diri dan melawan ketakutan untuk berbicara di hadapan kamera sebagai hos.
Sepanjang 13 episod yang berdurasi selama 30 minit, program ini akan mengupas isu ‘panas’ dan penting seperti literasi kewangan, peningkatan kos membesarkan anak, ketahanan emosi serta penetapan batas diri.
Tidak ketinggalan, isu dunia digital seperti privasi dalam talian, ‘cancel culture’, trend ‘slow living’ dan perubahan norma sosial turut menjadi intipati perbincangan musim ini bagi memberi pandangan praktikal kepada penonton.
Selain paparan televisyen, program ini turut memperluaskan capaiannya menerusi aktiviti di lapangan termasuk sesi Pilates, reruai interaktif serta pembabitan komuniti bagi mewujudkan hubungan lebih akrab dengan peminat secara peribadi.