Shah Alam : Prosiding kedua dakwaan pelanggaran perintah mahkamah difailkan penyanyi Nubhan Ahamad, 40, terhadap bekas isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie, 36, disambung pada 10 Ogos depan.
Peguam syarie, Mohd Redzuan Ramli yang mewakili Nubhan tarikh itu ditetapkan mahkamah bagi membolehkan pihak responden iaitu Dr Fie memfailkan afidavit pembelaan untuk dirinya.
“Kes komital difailkan anak guam saya, Nubhan susulan wujud tiga pelanggaran perintah mahkamah yang didapati sudah dilakukan responden (Dr Afifah).
“Ia membabitkan terma yang sudah dipersetujui secara bersama sebelum ini yang asalnya daripada cadangan Dr Afifah sendiri.
“Bagaimanapun, perintah itu didakwa sudah dilanggar (oleh Dr Afifah) yang mana kejadian berlaku pada tahun lalu dan tahun ini juga.
“Namun, butiran terperinci mengenai jenis pelanggaran tidak dapat kami dedahkan bagi mengelak wujud unsur prejudis terhadap kes,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Mohd Redzuan ditemui media di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini selepas selesai prosiding kali pertama kes komital berkenaan.
Ujar Mohd Redzuan, tindakan menerusi undang-undang dibuat oleh Nubhan itu sama sekali tidak bersifat balas dendam terhadap bekas isteri.
“Tindakan ini bukan atas kapasiti balas dendam. Kami sebenarnya mengambil masa yang cukup lama untuk mempertimbangkan sama ada perlu memfailkan di mahkamah atau tidak.
“Tetapi, saya difahamkan oleh Nubhan sekiranya ada permohonan maaf yang dibuat secara suci hati dan ikhlas daripada pihak responden, beliau sedia mempertimbangkan untuk menarik balik kes ini,” jelasnya.
Difahamkan Nubhan memilih saluran mahkamah demi mempertahankan maruah diri dan membersihkan namanya daripada terus menjadi mangsa fitnah termasuk manipulasi masyarakat.
Pasangan Nubhan dan Dr Fie sah bercerai dengan talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 2 Disember lalu. Mereka berkahwin pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga anak.