Kuala Lumpur: Pelakon, Aedy Ashraf mengakui berasa amat terkejut dan sebak selepas menerima perkhabaran duka mengenai pemergian pelakon veteran, Allahyarham Jalil Hamid yang disifatkannya sebagai figura bapa di lokasi penggambaran.
Aedy, 33, atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi menyifatkan kehilangan Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat industri seni tanah air yang kini kehilangan sebutir permata yang tiada galang gantinya.
“Saya sebenarnya agak terkejut dengan pemergian arwah. Saya pernah berlakon drama dengan dia sewaktu masih kecil dan kami banyak bekerjasama dalam beberapa naskhah selepas itu. Bagi saya, dia seorang yang sangat berbakat dan berhati baik.
“Sepanjang bekerjasama, dia sangat penyayang dan melayan semua orang dengan baik. Kehilangan ini sangat dirasai kerana dia adalah sosok yang sangat disenangi di lokasi,” katanya kepada Harian Metro.
Aedy ketika ditemui pada sidang media filem Tarung: Unforgiven, di sini, malam tadi berkata, sifat rendah diri yang dimiliki Allahyarham menjadikan arwah seorang figura yang sangat dihormati oleh pelakon generasi muda.
“Bagi saya Malaysia kehilangan permata yang sangat jujur. Saya sudah banyak berlakon dengan pelakon senior, tapi dia seorang senior yang sangat luar biasa baiknya dan menganggap semua orang seperti anak sendiri.
“Dia tidak pernah meletakkan dirinya di atas, sangat santai dan mudah didekati. Dia adalah orang yang disayangi ramai kerana kejujuran serta keikhlasan terhadap apa yang dilakukannya,” katanya.
Dalam pada itu, Aedy mengakui masih terngiang-ngiang pesanan terakhir yang dititipkan arwah kepadanya untuk dijadikan pegangan dalam mengharungi kerjaya sebagai anak seni.
“Dia pernah berpesan kepada saya, ‘Aedy, jaga keluarga, kekal dalam industri selagi boleh’. Dia kenal keluarga saya, malah kenal ibu saya juga.
“Namun, satu perkara yang saya pegang dan ingat sampai sekarang adalah pesanan arwah supaya ‘berlakon kena jujur’. Itu sahaja, dan saya pegang kata-kata itu sehingga ke hari ini,” katanya.
Terdahulu, Allahyarham Jalil Hamid, 69, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya sekitar jam 12.30 tengah hari semalam ketika sedang tidur.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.