Kuala Lumpur: Pelakon, Norish Karman dilaporkan berada dalam keadaan semakin stabil selepas menjalani rawatan di sebuah hospital.
Berita mengenai perkembangan terkini kesihatan pelakon itu dikongsikan oleh anaknya, Manda menerusi satu hantaran di media sosial.
“Selepas menerima dua pain darah dan satu dos zat besi, Alhamdulillah keadaan bunda kini jauh lebih baik berbanding sebelum ini,” tulisnya.
Walaupun menunjukkan tanda-tanda pemulihan, Manda menjelaskan bahawa ibunya masih belum kuat sepenuhnya untuk bergerak sendiri.
“Namun begitu, buat masa ini bunda masih perlu menggunakan kerusi roda kerana keadaannya masih lemah dan memerlukan pemantauan rapi,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Manda turut mendedahkan bahawa dia terpaksa membawa ibunya pulang ke rumah buat sementara waktu.
“Manda terpaksa membawa pulang bunda buat sementara waktu, kerana setakat ini itulah sahaja kemampuan yang ada.
“Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mengirimkan doa yang baik-baik buat bunda dan kami sekeluarga,” tulisnya.