Kuala Lumpur : Pelakon, Zara Zya, 41, memberi bayangan seolah-olah hatinya kini sudah dimiliki, namun memilih untuk tidak terlalu terbuka mengenai soal peribadi kepada orang ramai.
Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata, dia tidak menafikan kehadiran seseorang yang sedang dikenalinya ketika ini, meskipun enggan mengesahkan status hubungan tersebut secara terperinci.
Menurut pelakon drama Risik Pada Hati ini, faktor usia menjadikannya lebih matang dan tenang dalam mengendalikan privasi diri berbanding sebelum ini.
“Saya bukanlah cakap tiada, tetapi tidak juga ada (pasangan). Kalau ada berita baik, insya-Allah saya akan beritahu. Berkawan itu memang ada, cuma saya belum bersedia untuk berkongsi lebih lanjut.
“Mungkin faktor umur dan pengalaman lalu membuatkan saya lebih selesa untuk tidak terlalu berlebihan. Sekarang saya mahu lebih relaks, apa yang patut dikongsi saya akan beritahu, selebihnya biarlah saya simpan sendiri,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi drama Luka Di Hujung Setia di Galeri Prima, Balai Berita, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai soal jodoh yang sering menjadi perhatian peminat, Zara menjelaskan dia kini tidak lagi meletakkan sebarang sasaran usia untuk menamatkan zaman bujang.
“Dahulu mungkin ada sasaran hendak kahwin usia 35 tahun. Sekarang saya sudah 41 tahun, hendak sasaran apa lagi? Saya lalui saja, kalau ada rezeki Allah bagi, adalah.
“Rezeki itu luas dan tidak semestinya terhad kepada perkahwinan saja. Sihat tubuh badan, cukup makan dan ada tempat tinggal itu juga rezeki yang lebih daripada mencukupi,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam perkembangan lain, Zara bakal muncul dalam drama terbaharu berjudul Luka Di Hujung Setia yang akan menemui penonton di TV3 bermula 19 Mei ini.
Apa yang lebih menarik, Zara menyifatkan gandingan semula bersama Datuk Adi Putra antara sebab utama dia menerima naskhah tersebut tanpa berfikir panjang.
“Kali terakhir kami bekerjasama adalah sebelum saya berhijab lagi. Selepas tahu bakal digandingkan semula dengan Datuk Adi Putra menerusi drama ini, saya terus bersetuju,” katanya yang sebelum ini pernah membintangi tiga drama bersama pelakon itu.