Kumpulan M-pop sensasi, Dolla kembali menggegarkan persada seni muzik tempatan menerusi kemunculan single terbaharu mereka diberi judul Ugly.
Single berkenaan disifatkan sebagai sebuah karya yang berani, sarat dengan tenaga luar biasa, selain membawa mesej serta semangat penentangan cukup mendalam.
Menurut Dolla, lagu Ugly berkenaan bukan sekadar karya hiburan semata-mata, sebaliknya mengisahkan mengenai harga diri serta keengganan mereka untuk dipandang rendah.
Menerusi naskhah terbaharu ini, Dolla turut menyuarakan penolakan keras terhadap sebarang cubaan pihak luar untuk menentukan identiti sebenar diri mereka.Advertisement
Dipacu oleh keyakinan tinggi, semangat melawan yang membara serta sentuhan huru-hara yang disengajakan, Ugly merakamkan detik bermakna apabila segala bentuk kekecewaan akhirnya berjaya ditukar menjadi kekuatan.
Karya ini secara khusus ditujukan buat sesiapa sahaja yang pernah dihakimi, ditekan atau didesak, namun kini bangkit melawan.
“Jika kami perlu menggambarkan Ugly dalam satu perkataan, perkataan itu ialah ‘tanpa kompromi’,” kongsi Dolla ketika menceritakan mengenai naskhah terbaharu mereka menerusi kenyataan media.
Tambah Dolla, lagu berkenaan turut mengetengahkan usaha menerima diri sendiri serta berdiri teguh tanpa membenarkan orang lain mencorakkan identiti mereka.
Mesej yang dibawa dalam lagu itu diakui amat dekat dengan hati setiap anggota kumpulan terbabit kerana pernah melalui pelbagai pengalaman dihakimi.
Dalam pada itu, Dolla yang dianggotai Sabronzo, Angel dan Tabby juga pernah berdepan situasi yang disalahertikan oleh masyarakat sekeliling dalam pelbagai cara yang berbeza sepanjang perjalanan seni mereka.
“Kami terus dapat menghayati lagu ini kerana mesejnya rasa begitu peribadi. Ada satu kepuasan apabila kami dapat mengambil segala perasaan itu dan mengubahnya menjadi kekuatan menerusi Ugly,” luah mereka penuh semangat.
Kongsi Dolla, walaupun lagu ini mempunyai tenaga yang penuh penentangan, pada dasarnya ia adalah tentang keberanian untuk menentukan naratif sendiri.
Tidak hanya hadir dengan taruhan audio yang mantap, video muzik Ugly turut mengembangkan lagi mesej lagu itu menerusi dunia visual yang memukau.
Lebih menarik, penghasilan visual berkenaan diinspirasikan sepenuhnya daripada wayang kulit, iaitu sebuah seni persembahan bayang-bayang tradisional Malaysia yang kaya dengan warisan.
Penggunaan elemen cahaya, bayang-bayang, pergerakan fizikal, muzik serta penceritaan yang teliti berjaya melambangkan perbezaan ketara antara persepsi dengan kebenaran sebenar.
Konsep itu diibaratkan seperti penonton yang sering membentuk tanggapan terhadap sesuatu watak hanya berdasarkan bayang-bayang tanpa melihat gambaran menyeluruh.
Begitu juga dalam kehidupan seharian, manusia sering menghakimi orang lain berdasarkan penampilan luaran, khabar angin atau versi kebenaran yang diceritakan pihak lain.
“Kita melihat bayang-bayang lalu membentuk tanggapan tentang watak tersebut tanpa pernah melihat gambaran yang sepenuhnya.
“Kami merasakan konsep itu sangat serasi dengan Ugly kerana manusia sering melakukan perkara yang sama terhadap satu sama lain,” tambah Dolla.
Bagi Dolla, lagu ini seolah-olah menjadi peringatan penting bahawa persepsi luaran tidak semestinya mencerminkan kebenaran yang sebenar.
Sementara itu, kumpulan ini turut terbuka menerima apa jua cabaran dan kejutan yang bakal hadir mengiringi perjalanan seni mereka pada masa hadapan.
Selain komited membawa muzik, visual serta persembahan ke tahap lebih tinggi, Dolla merancang memberikan tumpuan lebih besar kepada pasaran antarabangsa dengan berazam untuk mendekati khalayak di luar Malaysia serta memperkukuh lagi kehadiran nama mereka di persada pentas global.