Kuala Lumpur: Penyanyi, Shila Amzah, secara terbuka memohon maaf kepada peminatnya susulan beberapa masalah teknikal yang berlaku semasa Konsert Shila Amzah Kita 25 Tahun di Arena of Stars, Resorts World Genting, Sabtu lalu.Ketahui lebih lanjutIklan dalam talianPernikahanMajalah digital
Menerusi hantarannya di Threads, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 37, mendedahkan penonton berdepan masalah seperti bunyi yang kurang memuaskan sebelum konsert bermula serta paparan LED di bahagian belakang pentas tidak dilengkapi dengan lirik lagu.
“Buat yang menghadapi masalah sebelum bermulanya konsert, buat bunyi kurang memuaskan, buat LED belakang yang tak disediakan lirik, saya mohon ampun dan maaf pada kalian kerana terpaksa mengalami perkara itu.
“Sesungguhnya saya dan pasukan sudah berhempas pulas untuk melakukan apa yang kami mampu di belakang tabir. Apa diterjemahkan di atas pentas adalah di luar bidang kuasa kami,” tulisnya.
Menurut Shila, setiap konsert dianjurkannya sentiasa mensasarkan untuk memberikan terbaik, namun mengakui banyak perkara tidak dapat dikongsi secara terperinci.
“Setiap konsert kami mahu berikan yang sehabis baik. Namun, sejujurnya terlalu banyak yang tidak dapat dicoretkan.
“Oleh itu, saya nak minta maaf sangat-sangat atas apa sahaja kekurangan yang kalian rasakan.Ketahui lebih lanjutBeritaSurat khabarBerita sukan
“Semoga semua pihak boleh ‘reflect’ diri dan memperbaiki apa yang perlu demi mengangkat dan memartabatkan produk seni Malaysia,” kongsinya.
Terdahulu, terdapat beberapa pengunjung konsert yang meluahkan rasa terkilan apabila berlaku masalah berkaitan tempat duduk sehingga mereka terpaksa berdiri pada awal persembahan di Threads.
Malah, terdapat juga pengunjung yang tidak berpuas hati dengan sistem bunyi konsert yang didakwa tidak seimbang dengan suara penyanyi.
Bagaimanapun, peminat tetap terhibur dengan persembahan Shila yang menyampaikan kira-kira 40 lagu, selain menampilkan artis undangan, Mimifly dan Hael Husaini.