Kuala Lumpur: Pelakon Wan Raja mengakui gemar melukis potret rakan selebriti tertentu di lokasi penggambaran semata-mata untuk membuat ‘content’ di TikToknya berikutan memiliki bakat seni berkenaan.

Wan Raja atau nama sebenar Saiful Redzuan Abu Bakar, 48, berkata dia sudah lama tidak melukis walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurutnya, disebabkan masa kini adalah zaman media sosial maka dia cuba mempamerkan kelebihan yang dimiliki untuk berkongsi dengan orang ramai.

“Saya sebenarnya ada ijazah dalam bidang seni lukis, cuma sudah lama tidak melukis dan kerana zaman TikTok ini maka saya kena cari apa kelebihan diri.

“Contoh kalau kita syok sendiri tunjuk sibuk ‘shooting’, orang tidak peduli pun sebab ramai lagi pelakon popular yang ‘handsome’, lagi meletup dengan benda-benda itu.

“Maka saya cari kekuatan diri iaitu boleh melukis. Kenapa tidak saya buat ‘content’ melukis sebab inspirasi saya pun datang daripada seorang ‘content creator’ TikTok dari New York, Amerika Syarikat (USA),” katanya.

Wan Raja berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media filem The Real Mamu, di sini, baru-baru ini.

Bapa dua cahayamata ini berkata, dia kembali melukis bukan untuk berniaga dan tidak pernah terfikir untuk menjual lukisan potret itu, tetapi sekadar membuat kandungan dalam TikTok sahaja.

“Kalau artis yang saya lukis potret dia suka dan nak ambil, saya bagi sahaja. Kalau dia tak nak, saya simpan.

“Apa pun, saya kena pilih juga orang yang boleh membantu saya untuk dapat ‘viewer’ baharu. Kalau saya lukis potret orang yang tidak dikenali, saya ambil upah dan ‘post’ pun tiada orang peduli nak tengok.

“Sebagai contoh, saya melukis potret Mira Filzah di set penggambaran itu dan meletup sampai saya dapat berjuta-juta ‘view’. Jadi, saya kena buat macam itu untuk saya punya ‘content’,” katanya.

Katanya lagi, dia menerima mesej peribadi (DM) setiap hari daripada orang ramai untuk melukis potret mereka tetapi menolaknya kerana tidak tahu untuk meletakkan kadar bayaran.

“Kalau saya letak harga ‘standard’, jatuh pula reputasi sebagai pelukis. Ditambah, saya adalah seorang selebriti dan pelakon, takkan saya nak letak harga RM50.

“Bagaimanapun, jika jual harga mahal pula, nanti orang akan cakap lain maka lebih baik saya tak buat,” katanya.

Selain potret Mira Filzah, suami kepada Yaya Maembong ini berkata potret birasnya iaitu Cat Farish yang dilukis juga mendapat ‘view’ tinggi di TikTok dan menyifatkan ia mungkin disebabkan karekter seseorang artis.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *