Kuala Lumpur : Pelakon, Zairi Aziz tidak akan ‘melarikan diri’ apabila namanya berterusan dikait dengan kakak yang juga pelakon dan model terkenal, Nasha Aziz, 55, meskipun sudah berjaya membina bakat lakonan sendiri.

Zairi, 24, berkata dia sentiasa sedar hubungan adik-beradik antaranya dan Nasha akan diperkatakan serta dikait sampai bila-bila kerana mereka menceburi karier seni dalam industri hiburan.

“Benda itu sentiasa ada (sering dikaitkan dengan nama Nasha). Saya tidak boleh nak lari pun dan saya tak nak lari pun sebenarnya. Saya ‘happy’ (gembira) bila orang kenali saya juga sebagai adik kepada Nasha Aziz.

“Tetapi, saya sudah mula berlakon sebelum orang tahu dan kenal saya sebagai adik Nasha. Saya pernah berlakon dalam drama Anak-Anak Mafia dan sebagainya termasuk teater Samaya – Puteri Laut Selatan.

“Jadi, saya rasa ‘skill’ dan ‘talent’ itu adalah perkara yang lebih penting. Malah, saya tidak berasa rimas pun apabila berterusan dikaitkan dengan nama Kak Nasha sebab benda ini sebenarnya menjadi cabaran lagi besar untuk saya buat lebih baik.

“Untuk saya jaga nama dia (Nasha) dan nama keluarga. Saya tak naklah nanti orang cakap, adik Nasha Aziz tapi berlakon tidak bagus. Kenapa kakak dia berlakon bagus?, saya tak nak benda-benda macam itu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zairi, sekarang memang menjadi cabaran utama kepada dirinya untuk berlakon lebih bagus daripada pandangan orang dan hingga kini boleh dikatakan kebanyakan drama yang dibintangi mendapat sambutan baik penonton.

“Macam drama Dorm 403 mendapat sambutan penonton sangat baik. Begitu juga filem Banduan yang saya dapat berlakon dengan Datuk Aaron Aziz dan Datuk Afdlin Shauki juga mencatat kutipan terbaik di pawagam.

“Maka, kini saya sangat berharap pembabitan dalam filem kedua The Real Mamu ini juga akan dapat sambutan terbaik. Malah, drama lakonan saya iaitu Bila Cinta Menjadi Dosa juga berjaya dicalonkan dalam majlis anugerah,” katanya.

Ujar Zairi, dia ia pencapaian yang baik diperolehnya tanpa henti setakat ini walaupun baru tiga tahun betul-betul aktif sebagai pelakon secara serius sejak 2024 lalu.

Katanya, apa yang pasti dia adalah seorang sangat sukakan cabaran dan bersikap terbuka mencuba semua jenis genre dalam naskhah lakonan yang diterima kerana sebelum ini banyak dapat peluang berlakon aksi.

Filem The Real Mamu yang akan memulakan penggambaran di Pulau Pinang pada 26 Jun ini adalah arahan bersama oleh Zulkifli Abu Hassan dan Dharma Nasution yang diterbitkan Abdul Hafiz Abdul Halim dari produksi Z & K creative Sdn Bhd.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *