Kuala Lumpur : Selepas mengubati rindu peminat menerusi lagu raya Rindu Aidilfitri pada Mac lalu, penyanyi Rozita Rohaizad kini kembali mempertaruhkan single terbaharu berjudul Rindu Ini Tetap Ada.
Karya bergenre balada menyentuh jiwa ini diinspirasikan daripada kisah benar mengenai kehilangan, pengorbanan dan keikhlasan cinta yang kekal mekar dalam ingatan.
Rozita berkata, lagu ini sangat dekat dengan perjalanan hidup serta pengalaman peribadi yang pernah dilaluinya.
“Ada cinta yang tidak dapat dimiliki, namun tetap hidup dalam kenangan. Ada rindu yang tidak pernah hilang walaupun masa terus berlalu. Itulah kisah yang ingin saya sampaikan melalui lagu ini,” katanya.
Lebih menyentuh hati, single ini turut menjadi simbol kerinduan Rozita terhadap ahli keluarga dan insan seni terkemuka tanah air yang sudah tiada.
Menurut Rozita, dia memilih lagu ini kerana ia mempunyai signifikasi dan ciri-ciri yang hampir sama dengan albumnya pada tahun 1990 berjudul Hingga Keakhirnya.
“Album itu adalah album kegemaran arwah ibu saya, Seniwati Mariani Ismail. Saya bersyukur kerana sehingga hari ini masih diberi peluang untuk menyambung legasi mereka dan terus berkarya,” kongsinya lagi.
Secara ringkasnya, Rindu Ini Tetap Ada mengisahkan mengenai seorang insan yang masih kuat menyimpan kenangan terhadap cinta yang pergi.
Walaupun perpisahan menjadi takdir, kerinduan itu tetap hidup mekar menemani perjalanan hidup dengan penuh rasa reda.
Kemunculan naskhah ciptaan komposer berbakat, Lieynur Liey, manakala liriknya ditulis bersama oleh Rozita dan Lieynur Liey membuktikan vokal serta penghayatan Rozita masih ampuh untuk menyentuh hati pendengar daripada pelbagai generasi.
Rindu Ini Tetap Ada mendapat sentuhan Fauzi Aisunam selaku penerbit dan penyusun muzik manakala proses rakaman lagu dilakukan di FGI Studio, manakala edaran rasmi dikendalikan oleh Melissa Record yang akan menemui pendengar bermula 1 Jun ini.
Beliau berharap lagu ini dapat diterima seluruh peminat muzik dan peminat boleh mendengar lagu Rindu Ini Tetap Ada di saluran Youtube Rozita Rohaizad.