Kuala Lumpur : Pelakon Zila Bakarin mengaku sanggup dikecam, namun, tidak akan berdiam diri apabila membabitkan emosi dan kesejahteraan anak-anak.
Zila berkata, dua permata hatinya, iaitu Kaseh Azri dan Chinta Azri pernah berdepan tekanan emosi serta dipinggirkan hanya kerana bergelar ‘anak artis’, sehingga terpaksa bertukar sekolah.
“Biar orang hina saya, tetapi bukan anak-anak saya. Mereka selalu menangis kerana dipulaukan.
“Anak-anak saya pernah cakap, ‘kami tak minta dipilih, cukup sekadar terima kami’,” katanya menerusi hantaran Threads.
Pelakon drama Suri Hati Mr Pilot itu turut meluahkan rasa syukur dikurniakan anak-anak beradab dan tidak menyimpan dendam walaupun pernah disakiti.
Terdahulu, Zila menerusi podcast kendalian Yasmin Hani dan Catriona Ross mendakwa anak-anaknya pernah mengalami gangguan emosi di sekolah, termasuk membabitkan seorang guru yang didakwa mengkritik fizikal anaknya.