Kuala Lumpur: Pelakon juga pelawak veteran, Sathiya, 62, berada dalam keadaan sihat dan stabil bagi menjalani pembedahan pada kaki kirinya yang perlu dipotong hingga paras lutut, hari ini.

Anak perempuannya, Amani Nair Satya, 37, memberitahu bapanya sudah dibawa masuk ke dewan bedah di Hospital Ampang pada jam 10.10 pagi dan pembedahan dijangka selesai sebelum jam 1.30 tengah hari ini.

“Ayah sedar ketika mendapatkan rawatan di zon kuning hospital semalam, dan dia juga tahu mengenai kaki kirinya perlu dipotong sekali lagi kerana borang pembedahan juga dia yang tanda tangan.

“Kata ayah, semua yang terjadi pada kaki kirinya itu keputusan Tuhan. Jadi, dia (ayah) juga nak kami terima dengan baik.

“Macam mana pun ayah selalu gembira saja. Muka dia tak tunjuk sedih pun depan kami. Mungkin sebab, ayah tak nak kami risau dan sedih,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Amani lagi, pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu kelihatan tenang ketika dibawa masuk oleh doktor ke dalam dewan bedah pada pagi ini.

“Masa pergi dewan bedah tadi pun, ayah cakap dengan saya dan adik yang dia okay saja. Doktor pun cakap, keadaan ayah sihat dan tak ada masalah sekarang.

“Saya yakin ayah seorang yang kuat semangat dan saya tahu selepas ayah bangun nanti, mesti di wad itu dia akan ketawa saja.

“Sebab sebelum ini pun sama, habis pembedahan dan malam itu dia sudah ketawa bila berkumpul di katil ayah,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Sathiya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di zon kuning Hospital Ampang ketika dibawa anak-anaknya untuk mendapatkan rawatan lanjut pada awal pagi semalam.

Keadaan kesihatan pelawak itu didapati merosot selepas mengadu pening kepala serta mengalami simptom mata menjadi kuning dan muntah-muntah sejak malam Ahad lalu.

Difahamkan Sathiya terjatuh ketika di rumah pada Jumaat lalu dan kaki kirinya yang dipotong akibat kencing manis atau diabetes pada September tahun lalu itu mengalami luka serta berdarah.

Bagaimanapun selepas dibawa ke klinik swasta, keadaan kesihatan Sathiya tidak membaik kerana kaki kiri itu dijangkiti kuman akibat luka lama yang bernanah

Hasil pemeriksaan doktor, Sathiya disarankan menjalani pembedahan pada kaki kiri bagi mengelakkan jangkitan kuman merebak ke bahagian anggota badan yang lain.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *