PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Zahiril Adzim menyifatkan impak luar biasa ditampilkan Firdaus Karim menerusi drama Doa Yang Terlindung sebagai bukti kualiti lakonan mampu mengatasi kelebihan fizikal dan populariti semata-mata.

Zahiril atau nama sebenarnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 42, berkata industri perlu memberi lebih ruang kepada pelakon berteraskan bakat bagi memperkukuh standard produksi dan memastikan naskhah tempatan terus berdaya saing serta bermutu tinggi.

“Saya nak ada ramai lagi Firdaus Karim dalam industri kita ini. Saya sebenarnya memang menunggu kehadiran pelakon yang hebat, bagus serta berkualiti tanpa perlu ada ‘pakej’ seperti orang lain.

“Saya pun tiada pakej luaran, tetapi saya ada ‘barang’ sendiri. Saya bersyukur kerana penonton kini sudah membuka mata dan menerima pelakon berbakat seperti ini,” katanya ketika ditemui pada tayangan filem Amira Amir di Tanamekar The Hills, di sini, baru-baru ini.

Menurut Zahiril, pelakon baharu sering berdepan kecaman pada peringkat awal, khususnya membabitkan aspek fizikal, namun percaya masa akan membuktikan kemampuan sebenar seseorang.

“Masa awal pembabitan memang akan dikecam kerana fizikal dan luaran. Tapi bila sudah lama dalam industri atau sampai ke penghujung nanti, barulah penonton dapat rasa sendiri kualiti lakonan itu.https://slinkway.com/r/p.html?

“Dalam masa sama, akan ramailah pelakon seperti ini masuk industri,” katanya.

Pemilik trofi Aktor TV Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-37 itu bagaimanapun menjelaskan beliau tidak pernah menolak kepentingan penampilan dalam dunia seni.

Sebaliknya, beliau menegaskan aspek rupa tidak wajar dijadikan ukuran tunggal dalam menentukan kredibiliti seseorang pelakon.

“Saya tidak memandang rendah atau menolak pelakon yang ada ‘pakej’. Sudah pasti industri memerlukan pelakon yang mempunyai rupa menarik untuk dipandang.

“Ada penonton yang mahu melihat hero tampan dan heroin menawan, dan itu tidak salah. Tidak salah juga jika dua kumpulan pelakon ini bergabung dan sama-sama mewarnai industri tanah air,” ujarnya.

Mengimbau detik awal pembabitannya dalam industri, Zahiril mengakui pernah berdepan kritikan serupa, namun memilih untuk terus melangkah ke hadapan kerana yakin dengan kemampuan diri.

“Masa awal pembabitan, ada yang kata saya tidak kacak dan pendek. Tapi saya tidak pernah putus asa kerana saya tahu saya ada sesuatu yang boleh dikongsi.

“Saya harap kewujudan saya dalam industri ini menjadi penanda aras kepada mereka yang senasib. Jangan risau, ada tempat untuk kita.

“Yang penting, berlakon bersungguh-sungguh, elakkan kontroversi dan jaga diri sendiri. Jangan buat hal bukan-bukan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan graduan kursus lakonan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), ASWARA dan sekolah seni untuk menceburi bidang lakonan kerana industri memerlukan tenaga berbakat seperti mereka.

Sebelum ini, nama Firdaus melonjak popular selepas memegang watak Ustaz Irfan dalam Doa Yang Terlindung yang pada awalnya menerima komen negatif segelintir netizen yang menyifatkannya tidak cukup kacak untuk membawa watak utama.

Bagaimanapun, bakat lakonannya dalam drama berkenaan akhirnya berjaya memikat hati penonton dan menerima pujian meluas.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *