Majlis akikah anak perempuan, pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu dan isterinya, Watie Hanifiah iaitu Akira Juwita dan majlis rumah terbuka terlajak raya berlangsung sederhana di Hacienda, The Hub @ A-Park di Puchong, di sini.
Apa yang menarik, ia juga buat kali pertama pasangan itu berkongsi wajah Akira kepada kira-kira 400 tetamu yang hadir dalam kalangan ahli keluarga dan rakan rapat pada majlis kesyukuran berkenaan.
Dimeriahkan dengan kehadiran barisan selebriti tanah air seperti usahawan Datuk Seri Aliff Syukri dan isteri Datin Seri Shahida Mohd Rashid, Mamat Sepah, Fasha Sandha, Aidil Aziz, Datuk Hattan, Ajak Shiro, Zaki Yamani dan ramai lagi.
Menurut Shuib, 42, dia dan isterinya, Watie, sangat gembira dan bersyukur kerana majlis akikah yang dirancang untuk anak perempuan mereka itu berjalan lancar seperti direncanakan.
“Alhamdulillah, majlis kesyukuran yang dirancang untuk meraikan kelahiran anak kelima bersama ahli keluarga dan rakan rapat dipermudahkan segala urusannya.
“Sebenarnya, acara majlis akikah dan cukur jambul Akira ini sudah lama kami rancang tapi hanya dapat merealisasikannya sekarang dalam masa seminggu sahaja,” katanya kepada Harian Metro.
Watie pula berkata, dia gembira kerana impian untuk mengadakan majlis kesyukuran untuk anak perempuannya itu akhirnya tercapai.
“Saya bersyukur kerana sepanjang mengandungkan Akira, saya tidak mengalami sebarang alahan dan proses kelahirannya juga mudah.
“Cuma yang buat saya berasa sedikit mencabar ialah ketika menyusukan bayi pada masa berpantang itu,” katanya.
Kata Watie lagi, anak ketiga Shuib iaitu Ariq Matin juga sering menemaninya di rumah ketika Shuib keluar bekerja terutama ketika mengatur undangan persembahan untuk Thalita.
“Matin yang paling rajin membantu saya di rumah ketika Shuib keluar menemani Thalita buat ‘show’ di luar.
“Saya hanya ajar satu perkara, contohnya di mana tempat barangan bayi seperti ‘pampers’ (lampin pakai buang) dan dia akan ingat dan peka bila kita minta tolong,” katanya.
Sementara itu, Thalita turut meluahkan rasa teruja dengan kelahiran Akira sekali gus melengkapkan keluarga besar mereka.
“Saya memang nak ‘mummy’ lahirkan adik perempuan kerana sudah ada tiga adik beradik lelaki dalam keluarga. Saya mahu adik perempuan sebagai peneman di rumah,” katanya.
Ditanya sama ada dia berasa cemburu dengan kehadiran Akira, Thalita menafikannya.
“Bagi saya, ahli keluarga kami sudah cukup sempurna dan semuanya mendapat kasih sayang yang sama rata dari ‘daddy’ dan ‘mummy’,” tambahnya.
Terdahulu, Watie atau nama sebenarnya, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah selamat bersalin di sebuah pusat perubatan swasta di Damansara pada 6 April lalu.
Akira Juwita adalah anak hasil perkahwinan kedua Shuib bersama Watie yang juga pempengaruh media sosial.
Shuib dan Watie juga sah menjadi suami isteri selepas diijab kabul pada 23 Jun 2023.
Shuib juga memiliki empat anak hasil perkahwinan dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raisuddin iaitu Uwais Alqarni, 15; Dzahira Thalita Zahra, 13; Ariq Matin, 10 dan Ayash Affan, 5.