Kuala Lumpur: Pelakon Aprena Manrose, 33, mendedahkan pernah menitipkan doa di hadapan Kaabah agar hubungannya bersama bekas suami, Mohd Afiq Hazman kembali bertaut.
Menurut anak kepada penyanyi dangdut, Iwan Syahman ini berkata, peluang berkenaan ketika dia menjalani penggambaran drama Rindu Medina di tanah suci Makkah pada Mac tahun lalu
Menurutnya, kunjungan ke Makkah pada waktu itu dianggap sebagai peluang keemasan untuk merawat hati yang terluka kerana dia baru sahaja bercerai dan sedang dalam tempoh iddah.
“Ketika itu hubungan kami memang tidak begitu baik. Secara tidak langsung, saya dapat menenangkan diri di sana.
“Memandangkan drama itu sendiri sarat dengan emosi, mood dalam lakonan dan realiti adalah sama. Memang banyak air mata mengalir sama ada di depan atau di luar kamera,” katanya.
Mengakui sukar melepaskan ikatan yang dibina selama 14 tahun, Aprena berkata, pada mulanya dia tidak cukup kuat untuk membayangkan kehidupan tanpa seorang suami di sisi.
“Tiada pasangan yang berkahwin mahu bercerai. Doa saya ketika itu adalah untuk kami kembali bersama dan cuba memperbaiki hubungan.
“Namun, sekembalinya saya ke tanah air, perasaan itu jadi lain. Saya akhirnya reda dan relakan apa yang berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Aprena bersyukur urusan kerja dan ibadahnya dipermudahkan sepanjang berada di Makkah meskipun memikul tanggungjawab sebagai pelakon.
“Ini kali pertama saya ke sana (Makkah) untuk bekerja. Kami selesaikan umrah dahulu pada hari pertama sebelum memulakan penggambaran. Walaupun fokus terbahagi, semuanya berjalan lancar,” katanya.
Drama Rindu Medina lakonan Aprena bakal menemui penonton di TV1 bermula 10 Mac ini. Selain Aprena, drama arahan Zamri Zakaria itu juga dibintangi Johan As’ari, Amy Nur Tini dan ramai lagi.