Cabaran bekerjasama dengan pelakon senior lebih berpengalaman menjadi platform terbaik buat pelakon, Alya Iman untuk mengasah bakat sekali gus mencipta keserasian dalam dunia lakonan.

Meskipun pada awalnya dihantui rasa bimbang, gandingan bersama pelakon berkaliber seperti Zamarul Hisyam, Che Puan Sarimah Ibrahim dan Siti Elizad mampu mematangkan kualiti lakonannya.

Bercerita mengenai pengalaman dalam drama terbaharu Bila Cinta Menjadi Dosa, Alya menyifatkan bergandingan dengan pelakon, Zamarul Hisyam sebagai satu cabaran terbesar.

“Cabaran utama adalah apabila saya bergandingan dengan hero ‘senior’. Kadang-kadang timbul perasaan takut jika saya tak ‘perform’.

“Ada masa saya rasa takut nak masuk ke set penggambaran kerana tak nak kecewakan sesiapa. Jadi, saya beri ‘effort’ lebih sikit seperti buat kajian tentang watak apabila di rumah,” katanya.

Alya atau pemilik nama Nur Alya Iman Azmil menyifatkan rakan pelakon serta kru sangat membantu dan tidak memberi tekanan kepadanya, sekali gus memudahkan urusannya menjiwai watak Yasmeen.

“Hasil di set (penggambaran) sebenarnya sangat positif. Semua orang sangat membantu dan tak ada yang memberi tekanan terutamanya apabila bekerja dengan abang Zamarul Hisyam memang sangat ‘best’.

“Dia (Zamarul Hisyam) banyak berkongsi ilmu dan perkara baharu dengan saya sepanjang kami bekerjasama,” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik keserasian yang terbina, Alya tidak menolak timbul kerisauan lain dalam sudut hatinya mengenai penerimaan penonton apabila mereka menonton drama ini kelak.

“Tapi, lama-lama timbul pula rasa takut tentang apa yang orang akan cakap bila saya berlakon dalam cerita yang heronya lebih berusia. Kita tak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan,” katanya.

Alya tidak menafikan bekerja dengan mereka yang sudah lama bertapak dalam industri seni banyak memudahkan urusannya, terutama dalam mencari rentak bagi setiap babak yang dijayakan.

“Pengalaman mereka (pelakon-pelakon senior) sangat membantu. Setiap kali berlakon dengan mereka, kerja jadi sangat senang,” katanya.

Jika kebanyakan pelakon mengambil masa lama untuk membina keserasian, bagi Alya, dia menyifatkan proses itu berlaku secara semula jadi apabila digandingkan dengan pelakon senior.

“Setakat ini, saya memang tak pernah ‘try hard’ untuk cari keserasian. Setiap kali saya menjalani penggambaran dengan pelakon senior, keserasian itu datang sendiri. Ia berlaku secara semula jadi.

“Sebenarnya, saya lebih sukar mencari keserasian dengan pelakon-pelakon yang sebaya dengan saya,” katanya.

Alya mengakui wujud jurang perbezaan yang ketara apabila bekerja dengan pelakon baru seusianya berbanding pelakon senior yang lebih berpengalaman.

Menurut pelakon kelahiran Negeri Sembilan ini, antara faktor utama yang menyukarkan proses membina keserasian dengan pelakon muda adalah kerana tidak dapat menjangka karenah mereka.

“Bagi saya, kita tak tahu perangai mereka macam mana. Apabila bekerja dengan pelakon baru yang sebaya, kita kena tahu cara dan perangai mereka di set bagaimana.

“Berbeza dengan pelakon lama, mereka memang datang ke set semata-mata untuk bekerja. Mereka dah ‘terror’ dengan apa yang mereka lakukan.

“Jadi, tak susah untuk dapatkan keselesaan. Untuk pelakon baru pula, saya pun tak tahu bagaimana nak jelaskannya, tapi memang susah sikitlah untuk cari ‘chemistry’,” kongsinya.

Sementara itu, melangkah ke tahun 2026, Alya kini tampil dengan semangat serta imej baharu selepas melalui fasa turun naik dalam kerjaya seninya sepanjang tahun lalu.

Mendedahkan perkara itu, Alya mengakui tahun lalu agak tenang apabila dia mengambil keputusan berani untuk berehat seketika daripada radar industri selama enam bulan.

“Sejujurnya, 2025 adalah tahun yang agak ‘mellow’ buat saya. Saya pilih untuk berehat selama enam bulan dengan duduk di rumah.

“Waktu itu memang saya gunakan sepenuhnya untuk kembali sihat dari segi fizikal dan mental.

“Alhamdulillah, rezeki awal tahun 2025 memang ‘back to back’. Selepas berehat, saya kini membuat ‘comeback’ semula untuk tahun 2026. Setakat ini, saya nampak jalan (kerjaya) semakin cerah,” katanya.

Meskipun kini dilihat lebih memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kerjaya yang kembali memuncak, Alya mengakui dia tidak pernah menutup pintu hatinya untuk mendirikan rumah tangga apabila tiba masanya.

“Walaupun saya kata nak fokus pada kerjaya, tapi bila jodoh dah sampai, ia boleh berlaku bila-bila masa sahaja walaupun ketika itu saya masih fokus pada kerjaya.

“Sudah tentu satu hari nanti Alya pun nak kahwin juga. Tapi, buat masa sekarang, biarlah saya fokus pada kerjaya saya dahulu,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *