Malam Gala filem Syaitan Munafik di CGV Grand Indonesia di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini menjadi simbol kejayaan kolaborasi strategik antara industri perfileman Indonesia dan Malaysia.
Pengasas dan Pengarah Urusan United Nine Creative (UNC), Datuk Mohd Rusdi Shair berkata, ia bukan sekadar meraikan pelancaran filem Syaitan Munafik di pawagam Indonesia,malah mencerminkan kebangkitan kerjasama kreatif serantau yang semakin matang, tersusun dan berdaya saing di Asia.
Menurutnya, platform penstriman Nine Flix tampil sebagai pengaktifan utama dalam menjayakan pelancaran filem ini, dengan membawa visi jangka panjang untuk memastikan industri kreatif terus berkembang secara mampan.
“Peranan Nine Flix merangkumi sokongan terhadap penerbitan, strategi pemasaran serta pembukaan jaringan kolaborasi rentas negara, sekali gus membuka laluan baharu kepada penggiat seni dan kandungan kreatif Asia.
“Melalui pelancaran ini, Nine Flix terus mengukuhkan peranannya sebagai platform yang bukan hanya menayangkan karya (filem), tetapi membina ekosistem industri kreatif Asia yang lebih terbuka dan berdaya saing dengan Indonesia sebagai hab strategik dalam perjalanan pengembangan serantau terbabit,” katanya.
Bagimemastikan perjalanan kedua-dua projek ini bergerak seiring dan lancar, kata Mohd Rusdi, PT UNC International Indonesia memainkan peranan penting sebagai rakan strategik tempatan.
Katanya, kerjasama ini memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan dapat dijalankan secara profesional, selari dengan matlamat bersama untuk membina industri kreatif yang sihat dan berdaya tahan.
“Indonesia dipilih sebagai destinasi negara kedua dalam pengembangan ekosistem Nine Flix di Asia, mengambil kira kekuatan pasaran, kepelbagaian bakat serta sokongan industri yang kukuh.
“Langkah ini dilihat sebagai strategi penting dalam menghubungkan karya kreatif Nusantara ke pasaran serantau dan antarabangsa,” katanya.
Mengenai filem Syaitan Munafik pula, kata Mohd Rusdi, ia bukan sahaja filem genre seram tetapi menjadi medium penyatuan emosi, budaya dan kreativiti dua negara serumpun.
Menurutnya, kehadiran barisan artis, pembikin filem serta tokoh industri pada malam gala filem Syaitan Munafik di Indonesia membuktikan sokongan padu terhadap kolaborasi ini.
“Filem Syaitan Munafik sudah ditayangkan di pawagam Malaysia dan Brunei Darussalam pada 21 Disember 2023.
“Selepas dua tahun, baru filem ini dapat ditayangkan di 40 pawagam Indonesia mulai 15 Disember lalu,” katanya.
Filem Syaitan Munafik arahanAllahyarham Majed Salleh menampilkan barisan pelakon seperti AllahyarhamAshraf Sinclair,Allahyarham Maidin, Faizal Hussein, Datuk Jalaluddin Hassan, Siti Khadijah Halim, Ruminah Sidek, Nabil Ahmad, Zila Bakarin dan Bandi Amuk.