Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer, Noh Salleh berkongsi khabar gembira apabila memaklumkan isterinya, Fatin Athira Mustapa selamat melahirkan anak pertama mereka pada 21 November lalu.
Menurut Noh, 40, kelahiran bayi perempuan diberi nama Tara Svara itu membawa makna yang cukup besar buat dirinya dan keluarga, lebih-lebih lagi selepas melalui pelbagai ujian sebelum dikurniakan zuriat.
“Ia memerlukan kami mengharungi pelbagai ujian yang dahsyat untuk menyedari bahawa hanya Allah Yang Maha Esa yang menentukan masa yang sempurna untuk sesuatu dituliskan menjadi milik kita.
“Tidak lambat, tidak terlalu cepat. Sempurna. Masya-Allah, Alhamdulillah,” tulisnya menerusi hantaran terbaharu di Instagramnya, awal pagi tadi.
Katanya lagi, proses kelahiran berjalan dengan sangat lancar dan penuh suasana menyentuh hati apabila pasangan itu ditemani doa serta sokongan orang terdekat.
“Pada tanggal 21 November, isteri saya melahirkan anak kami yang pertama. Seorang anak perempuan yang sihat dan sangat cantik.
“Berkat doa restu orang tua, keluarga, sahabat dan anda semua, proses kelahiran sangat lancar dan meriah kerana ditemani pelukan, ciuman dan sorakan,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Noh turut memohon orang ramai mendoakan perjalanan baharu mereka sebagai ibu bapa agar sentiasa dipermudahkan.
“Sebuah fasa baharu untuk kami dan mohon kalian doakan perjalanan sebagai ibu bapa ini sentiasa dalam lindungan Allah SWT. Doakan aku, Athira dan Tara Svara,” tulisnya.
Untuk rekod, Noh dan Athira mendirikan rumah tangga pada 23 September 2023. Di Instagram, Noh turut memuat naik gambar keluarga kecilnya bersama bayi mereka.