Kuala Lumpur: Penyanyi Shila Amzah, 34, kini menerima anggota keluarga baharu iaitu bapa tiri apabila ibunya, Fauziah Sarman, 57, selamat bernikah dengan lelaki pilihan hati dikenali Zainal, hari ini.
Sebelum ini, Fauziah berstatus ibu tunggal selama dua tahun selepas sah bercerai dengan bekas suami juga pelakon dan penyanyi, Datuk ND Lala, 64, pada 2 Ogos 2023 yang didakwa berpunca kehadiran ‘orang ketiga’.
Bagaimanapun, berita gembira perkahwinan kali kedua Fauziah dengan suami baharunya itu dikongsikan pereka fesyen Seth dan Luth menerusi hantaran video dimuatnaik di Instagram (IG) mereka.
“Tahniah @shilaamzah dapat pak (bapa) baru hari ini.
“Selamat pengantin baru MamaZie (Fauziah) dan Tuan Zainal, semoga kekal bahagia hingga ke Jannah,” tulis Seth dan Luna pada kapsyen video itu.
Pasangan pengantin tampil menggayakan busana sedondon berwarna ungu, manakala Shila bersama suami, Ubai dan anak-anak memilih pakaian rona kuning.
Meninjau di IG Shila dan Ubai, didapati setakat ini mereka masih belum memuatnaik hantaran terkini berhubung acara majlis perkahwinan berkenaan.
Menerusi laporan Harian Metro sebelum ini, Fauziah pernah mendedahkan dia bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki berstatus duda pada tahun ini.
Menurutnya, mereka sudah berkawan selama beberapa bulan dan masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.
Pasangannya itu seorang yang baik dan penyayang serta tahu sebahagian suka duka hidup saya.
“Sebagai orang dewasa, kita menjalin hubungan yang matang berbeza ketika zaman muda dahulu. Si dia juga mempunyai pekerjaan tetap dan ada ‘bisnes’ sendiri,” katanya ketika ditemubual media.
Pada temubual itu, Fauziah turut memberitahu keluarga kedua belah pihak termasuk semua anak-anaknya merestui hubungan itu.
Terdahulu, Fauziah mendirikan rumah tangga dengan ND Lala pada 1989 dan selama 34 tahun hidup bersama mereka dikurniakan empat anak iaitu Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Nur Syuhada.