Kuala Lumpur: Jurusolek selebriti Azmier Hisyamuqris, 32, berbangga dan terharu menjadi wakil sulung Malaysia berkhidmat menata rias peserta Miss Universe 2025 (MU2025) di Bangkok, Thailand.
Azmier atau nama sebenarnya Azmier Hisyamuqris Juadio Mading tidak menyangka kerja-kerasnya selama ini diiktiraf sehingga mendapat jemputan pada acara ratu cantik nombor satu edisi ke-74 itu.
“Sejak di bangku sekolah, saya sering menonton pertandingan Miss Universe di TV. Saya masih sukar percaya kini saya ke pentas dunia menjadi sebahagian daripada pasukan Miss Universe 2025.
“Perjalanan ini lahir daripada langkah kecil yang penuh keraguan, usaha dan air mata. Saya berada di sini kerana mendapat kekuatan, semangat dan tenaga positif daripada ramai insan hebat di sekeliling saya.
“Saya datang dengan satu niat untuk berkongsi bakat, mengangkat martabat seni solekan, serta menyokong antara satu sama lain,” katanya yang sudah berada di Bangkok sejak kelmarin.
Azmier diberi kepercayaan organisasi MU2025 bersama Chat Cosmetics milik Nong Chat bagi mempersiap peserta dari pelbagai negara dalam pertandingan disertai 120 negara itu.
Antara peserta ditatariasnya termasuk dari Norway, Ukraine, Haiti, dan Costa Rica. Seramai 30 jurusolek terbabit termasuk Azmier, manakala yang lain dari Amerika Syarikat dan Thailand.
“Mungkin saya bukan siapa-siapa untuk berdiri sebaris bersama mereka yang sudah tinggi di puncak. Tetapi saya sangat bersyukur kerana usaha, pengalaman dan bakat saya dihargai.
“Saya persiapkan fizikal dan mental secara rapi, lebih fokus kepada alat solek yang dibawa serta teknik solekan. Ini kerana, saya tahu mereka (peserta) masing-masing punya aura dan kecantikan tersendiri.
“Selain itu juga, kekuatan mental dan ketenangan emosi adalah aspek penting untuk berkarya. Saya lebih mengamalkan rutin kerohanian, seperti membaca doa dan selawat,” katanya.
Anak jati Lahad Datu, Sabah itu kian membina nama dalam dunia solekan tempatan mahupun luar negara sejak kebelakangan ini. Bukan setakat selebriti tempatan, dia turut menata rias artis seberang.
Terdahulu, Azmier juga menjadi tunjang penting sebagai jurusolek Miss Universe Malaysia 2025, Chloe Lim yang mewakili negara ke pertandingan Miss Universe tahun ini.