SUDAH 23 tahun berlalu, namun momen suka duka yang ditampilkan menerusi filem popular Ada Apa Dengan Cinta? (AADC) masih kekal di ingatan peminat.

Kini, memori syahdu ini bakal kembali menerusi filem Rangga & Cinta, yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai hari ini.

Rangga & Cinta bakal mengajak penonton menyelami semula keindahan kisah cinta legenda AADC, tetapi kali ini dalam bentuk drama muzikal dengan nafas moden, segar dan penuh perasaan.

Selain lakonan karakter-karakter di dalamnya yang menyentuh hati, AADC turut diserikan dengan lagu latar dan runut bunyi yang menarik.

Runut bunyi filem ini yang turut diterbitkan mencatat jualan box office, seiring dengan tayangan AADC yang meledak menguasai pawagam era itu.

Rangga & Cinta tampil menggabungkan nostalgia dan pembaharuan.

Ia bukan sahaja menampilkan semula watak-watak yang pernah mencipta fenomena, tetapi juga menghidupkan lagu-lagu ikonik AADC dengan susunan muzik baharu yang lebih memukau dan bernostalgia.

Album runut bunyi Rangga & Cinta menampilkan 12 lagu dengan sembilan daripadanya adalah karya klasik yang diberi sentuhan segar dan tiga ciptaan eksklusif khas untuk filem ini.

Di bawah sentuhan kreatif komposer tersohor Melly Goeslaw dan Anto Hoed, setiap lagu diolah dengan gaya lebih kreatif dan moden tanpa mengorbankan jiwa dan keindahan melodi asal yang sudah lama melekat di hati pendengar.

Lagu-lagu seperti ‘Bimbang’ dan ‘Tentang Seseorang’ diberi nafas baharu dengan gaya lebih segar dan bertenaga, sementara ‘Kubahagia’ menampilkan sentuhan indie rock yang berani.

‘Di Mana Malumu’ pula hadir dalam versi electro pop moden yang menjadikannya lebih dekat dengan cita rasa dan jiwa pendengar generasi kini.

Antara keunikan Rangga & Cinta ialah barisan pelakon utamanya turut menyumbangkan suara dalam beberapa lagu filem ini.

Leya Princy yang menghidupkan watak Cinta menyampaikan lagu baharu berjudul ‘Untuk Rangga’ dengan penuh emosi dan kelembutan, sementara Rafi Sudirman menyerlah dengan vokal hebat melalui lagu ‘Truly, Madly, Deeply Hate You’ yang berirama rock, menambahkan dimensi baharu kepada perjalanan emosi kedua-dua watak utama ini.

Selain itu, kumpulan ‘Geng Cinta’ turut menyumbangkan lagu ‘Di Mana Cinta’ yang menambahkan warna dan kemeriahan dalam filem muzikal ini.

Tidak sekadar membawa semula lagu-lagu ikonik dari karya asal, Rangga & Cinta juga memperkenalkan beberapa lagu baharu yang digubah khas untuk menguatkan jalan cerita dan emosi penonton.

Lagu ‘Di Mana Cinta’ nyanyian bersama barisan pelakon utama, menyerlahkan tema cinta dan persahabatan yang menjadi nadi kepada keseluruhan kisah.

Manakala, lagu tema utama berjudul ‘Rangga Cinta’, nyanyian Bilal Indrajaya dan Eva Celia, menjadi simbol penyatuan antara generasi, menggabungkan suara baharu dan pengalaman lama dalam satu harmoni yang indah.

Lirik nukilan Melly Goeslaw bersama Mira Lesmana pula memperkukuh emosi filem ini, menjadikan setiap melodi terasa hidup seiring dengan perjalanan cinta Rangga dan Cinta di layar perak.

Jangan terlepas menyaksikan filem Rangga & Cinta, ia bukan sekadar mengembalikan nostalgia, tetapi dihidupkan semula dengan jiwa baharu yang lebih segar, moden dan sarat dengan emosi yang pasti menyentuh hati.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *