LOS ANGELES: Bintang Hollywood, Nicole Kidman dilapor memfailkan penceraian terhadap suami, iaitu penyanyi irama ‘country’ tersohor, Keith Urban, selepas 19 tahun mendirikan rumah tangga.

Dokumen mahkamah yang difailkan di Nashville, Selasa lalu, mendedahkan pemenang Oscar berusia 58 tahun itu mengambil langkah tersebut atas alasan ‘masalah rumah tangga dan perbezaan yang tidak dapat diselesaikan’. Urban, 57, yang juga pemenang Anugerah Grammy, turut dinamakan dalam permohonan itu, lapor CNN.

Permohonan penceraian itu termasuk pelan penjagaan anak untuk dua remaja perempuan pasangan berkenaan. Kidman dilapor meminta agar beliau diberi hak penjagaan utama manakala kedua-duanya bersetuju tidak menuntut nafkah anak atau sokongan pasangan. Urban dan Kidman juga akan mengekalkan aset masing-masing termasuk hak cipta dan royalti hasil karya seni mereka.

Kidman dan Urban, yang sama-sama dibesarkan di Australia, mula berkenalan pada 2005 ketika menghadiri majlis di Los Angeles yang meraikan bakat kelahiran.

Australia. Mereka berkahwin di Sydney pada 2006.

Ini perkahwinan pertama buat Urban, manakala Kidman pernah berkahwin dengan pelakon Tom Cruise dari 1990 hingga 2001, dan mempunyai dua anak angkat bersama bintang Top Gun itu.

Hubungan Kidman dan Urban pernah dianggap sebagai pasangan ideal. Namun, Kidman menolak tanggapan itu ketika ditemubual Associated Press tahun lalu sempena tayangan perdana siri Netflix The Perfect Couple.

“Anda sebenarnya menuju ke masalah jika menganggap diri pasangan sempurna. Saya sendiri tidak percaya kepada istilah sempurna,”

katanya.

Tidak lama sebelum itu, Urban pernah menyentuh hati isterinya ketika memberi penghormatan ketika Kidman menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat AFI. Urban mengimbas bagaimana Kidman berdiri teguh bersamanya sewaktu beliau berdepan ketagihan pada awal perkahwinan mereka, lapor

CNN.

“Hanya empat bulan selepas berkahwin, saya dimasukkan ke pusat pemulihan selama tiga bulan. Nic melawan segala suara negatif, mungkin juga dirinya sendiri, dan memilih untuk terus mencintai saya. Itulah sebabnya kami masih bersama selepas 18 tahun,” katanya.

Sepanjang kariernya, Kidman dikenali menerusi filem Days of Thunder, Eyes Wide Shut, Moulin Rouge dan The Hours yang melayakkannya meraih Oscar. Beliau kini lebih aktif dalam projek televisyen (TV) termasuk Nine Perfect Strangers dan Big Little Lies, yang membolehkannya meraih anugerah Emmy sebagai pelakon dan penerbit.

Urban pula kekal sebagai nama besar muzik country sejak era 1990-an dengan lagu popular seperti Somebody Like You dan Blue Ain’t Your Color. Beliau pernah memenangi empat Anugerah Grammy serta lebih sedozen Anugerah Akademi Muzik Country.

Perpisahan pasangan selebriti ini pertama kali didedahkan oleh TMZ. – CNN

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *