Siapa yang tidak mahu bahagia dalam percintaan, seterusnya membawa hubungan dijalin ke fasa perkahwinan. Itulah juga impian penyanyi, Nikki Palikat, 40.

Namun, ibu tunggal kepada seorang cahaya mata ini bagaimanapun akur dia tiada jodoh dengan bekas kekasih yang berasal dari Perancis selepas putus hubungan enam bulan lalu.

“Kami sudah berpisah secara baik kira-kira enam bulan lalu dan saya pun sekarang gembira menjalani kehidupan sendirian semula.

“Saya sudah ‘single’ tetapi tidak ‘available’. Namun, macam saya katakan, kami memang dah tak ada apa-apa hubungan istimewa lagi,” jelasnya.

Menurut Nikki, ini juga kali pertama dia hidup solo dalam tempoh 15 tahun yang disifatkannya tetap seronok dan bahagia.

“Jadi, saya tak nafikan inilah masanya untuk saya betul-betul hidup solo yang menyeronokkan. Saya bebas buat apa disukai.

“Apatah lagi, saya seorang yang mahukan perkara berbeza. Cuma, kita juga kena sedar tidak boleh paksa sesuatu perkara berlaku dan juga menyalahkan orang lain,” katanya.

Baru-baru ini, Nikki ditemui pada sidang media program pencarian bakat dikenali The Chosen One yang memberi peluang kepadanya menjadi mentor atau pembimbing buat peserta bertanding.

Selain Nikki, barisan selebriti popular lain yang menggalas tugas mentor itu ialah Achey, Bunga, Tuju, Loca B, Naqiu, Usop dan Namie. Manakala, Datuk Awie dan Sharifah Shahira pula selaku juri tetap.

Tidak menafikan berasa sedih dengan perpisahan berlaku, Nikki memaklumkan dia tetap perlu meneruskan kehidupan termasuk memastikan kelangsungan karier.

“Kita kena tetap ingatkan diri bahawa semua yang berlaku ada sebabnya. Keadaan ini (putus cinta) seperti musim yang pasti akan berlalu bila tiba masanya.

“Apapun, tiada masalah juga untuk kita melihat ke belakang semula. Cuma, kenalah bersyukur kerana sudah melepasi dugaan itu dengan matang dan bijak,” ujarnya.

Terdahulu, Nikki pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Audi Mok pada Jun 2009 dan mereka bercerai pada Jun 2022.

Hasil perkongsian hidup bersama selama 13 tahun itu, Nikki dan Audi dikurniakan anak lelaki, Liam Mok kini berusia 15 tahun.

Berbicara mengenai perkenalannya dengan bekas kekasih, Nikki berkata, mereka mula berkawan rapat selepas dia mendapatkan rawatan kiropraktik daripada jejaka itu.

“Apapun, saya masih terbuka hati untuk bertemu insan lain dan seterusnya mendirikan rumah tangga semula jika kami boleh serasi.

“Kalau ada lelaki yang sesuai, kenapa tidak? Saya orangnya romantis dan sukakan perkahwinan. Jika ada peluang (berkahwin lagi), saya okay sahaja,” katanya.

Menurut Nikki, dia berhasrat mahu menjadi isteri yang baik kepada suami baharu apabila berkahwin nanti walaupun pernah gagal dalam rumah tangga sebelum ini.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *