KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Indonesia, Raisa, 35, simpati terhadap vokalis muda, Nadin Amizah, yang dilapor menjadi mangsa gangguan seksual ketika mengadakan persembahan di sebuah konsert di Bekasi, Indonesia, baru-baru ini.

Raisa menganggap insiden itu tidak sepatutnya berlaku dan perlu dipandang serius.
“Alhamdulillah, saya belum pernah berdepan situasi sebegitu dan berharap perkara itu tidak akan berlaku.
“Saya amat bersimpati dengan Nadin kerana ini isu yang sangat serius. Individu yang membuat persembahan bukanlah objek yang boleh disentuh sesuka hati tanpa kebenaran.
“Kejadian seperti ini sangat menyedihkan. Saya harap orang ramai lebih menghormati penyanyi yang sedang bertugas di atas pentas,” katanya ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya berjudul Ambivert di sini, semalam.
Raisa yang popular dengan lagu Kali Kedua dan Teristimewa itu berharap penganjur konsert lebih prihatin terhadap aspek keselamatan dan melihat insiden yang menimpa Nadin sebagai pengajaran penting.
“Penganjur perlu menyediakan jaminan keselamatan bukan sahaja kepada artis, malah, kepada penonton yang hadir.
“Sebelum acara bermula, sebaik-baiknya ada taklimat keselamatan agar semua pihak maklum dan bersedia.
“Penonton juga wajar menjaga adab dan menghormati ruang peribadi artis. Kadang-kadang, risiko boleh berlaku pada kedua-dua belah pihak, jadi, langkah pencegahan perlu diambil,” jelasnya lagi.
Nadin yang popular dengan lagu Rayuan Perempuan Gila menerusi kenyataan dalam media sosial meluahkan rasa kecewa apabila menjadi mangsa gangguan seksual ketika membuat persembahan.
Mengakui berasa jijik dengan apa yang terjadi, Nadin dilapor menyifatkan individu yang melakukan perbuatan itu sebagai tidak layak digelar peminat kerana mencemarkan maruah insan lain.