Kumpulan pop-folk Indonesia, Batas Senja melamar Hannah Delisha merakamkan semula lagu hit mereka, Nanti Kita Seperti Ini dalam versi baharu.
Vokalis kumpulan dan pencipta lagu, Reza Lukita Apriadi atau Masitong, berkata idea untuk menampilkan Hannah dalam versi baharu lagu yang dilancarkan pada Ogos 2023 itu timbul kerana tertarik dengan keunikan suaranya.
Masitong berkata, kolaborasi dengan Hannah tercetus secara kebetulan sebaik pertama kali melihat penyanyi berusia 29 tahun itu menyanyikan lagu berkenaan di TikTok.
“Saya nampak Hannah ‘cover’ lagu ini, terus fikir dia orang yang sesuai. Hannah cantik, bersuara indah dan sangat ekspresif. Saya yakin kalau kami bergabung, hasilnya pasti luar biasa.
“Versi ini memang rasa sangat berbeza. Nuansanya lebih segar, lebih elegan dan emosional. Kami betul-betul mahu cipta pengalaman mendengar yang lebih sinematik dan berjiwa,” katanya.
Masitong berkata, rakaman lagu Nanti Kita Seperti Ini disulam dalam versi sinematik yang menampilkan susunan muzik jauh lebih besar dan penuh rasa dengan elemen orkestra.
“Banyak perbincangan dan eksplorasi muzik berlaku di belakang tabir. Sulit tapi sangat menyeronokkan.
“Lagu ini adalah kisah benar hidup saya sendiri. Ditulis ketika keadaan hidup saya yang sedang susah, tetapi saya terus membawa harapan dan doa semoga suatu hari nanti mampu memiliki rumah sendiri dan hidup bahagia.
“Saya rasa Nanti Kita Seperti Ini adalah lagu yang sangat dekat dengan hati ramai orang,” ujarnya.

Sementara itu, Hannah atau nama sebenar, Hannah Adlina Blackburne Birch menyifatkan lagu Nanti Kita Seperti Ini mempunyai makna cukup mendalam, selain rasa terhubung dengan karya itu sebaik mula mendengarkannya.
“Sejujurnya, kali pertama saya dengar lagu ni, saya terus rasa terhubung. Lagu ni sangat indah dan penuh makna. Saya memang minat dan menghormati karya mereka.
“Saya rasa sangat bersyukur dan bangga dapat menjadi sebahagian daripada versi ini. Saya rasa Batas Senja siapkan susunan semula lagu ni dalam masa seminggu atau mungkin kurang.
“Kami melakukan rakaman secara berasingan dan selepas hanya empat hari daripada sesi rakaman saya, kami terus terbang ke Lampung, Indonesia untuk penggambaran video muzik,” katanya.
Berkongsi pengalaman bekerjasama dengan kumpulan berkenaan, Hannah mengakui semuanya lancar.
“Mereka sangat santai dan ramah, memang senang sangat bekerjasama dengan mereka. Saya fikir suara saya dan Masitong serasi dan seimbang.
“Saya memang suka kesederhanaan melodi lagu ni, mudah hendak ikut menyanyi. Lagu ini mendalam dengan lirik yang penuh makna dan susunan muzik yang indah.
“Saya harap lagu ini boleh buat orang rasa tenang, rasa disayangi dan percaya bahawa membina hidup dengan seseorang itu suatu perkara yang indah,” katanya.
Nanti Kita Seperti Ini dalam versi baharu, iaitu ‘Cinematic Version’ kini boleh didengari di semua platform digital, manakala video muzik boleh ditonton di saluran YouTube Hannah Delisha bermula Jumaat lalu.
Versi asal Nanti Kita Seperti Ini mencatat lebih 340 juta penstriman melalui platform Spotify dan lebih 80 juta tontonan di saluran YouTube Batas Senja Official.