Kuala Lumpur: Bekas pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 34, bersyukur kerana berpeluang mencari rezeki menerusi sesi busking di beberapa lokasi.
Fendy yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan serta bapa tunggal seorang anak berkata, dia kini busking di perkarangan pasar raya ST Rosyam Mart Setiawangsa, Kompleks PKNS dan bazar-bazar Ramadan di beberapa lokasi.
“Saya sangat berterima kasih kepada Datuk Rosyam Nor kerana beri kebenaran untuk saya busking di premisnya.
“Begitu juga dengan pengurusan PKNS dan pihak berkuasa tempatan lain. Saya baru saja busking di ST Rosyam Mart setiap Sabtu dan Ahad.
“Selalunya saya ada pada waktu tengahari sehingga petang tapi memandangkan bulan Ramadan, saya akan busking pada sebelah malam,” katanya.
Fendy berkata, setiap pagi Sabtu dan Ahad dia akan busking di Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi, manakala pada hari biasa di Bazar Ramadan sekitar Bandar Tun Razak, di sini.
“Alhamdulillah, bolehlah buat tambah-tambah pendapatan pada bulan Ramadan yang tak banyak tawaran kerja. Saya hidup berdua dengan anak, Nur Azalea Zafirah yang berusia 10 tahun.
“Dia akan ikut saya sekali pergi busking sebab tak ada orang jaga. Sambil itu boleh juga dia menyanyi tunjukkan bakat.
“Azalea juga OKU penglihatan dan autistik bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jalan Batu, Kuala Lumpur. Kos bulanan hantar dan ambil anak dari rumah di Bandar Tun Razak sebulan RM800,” katanya.
Menurutnya, sekiranya cuti sekolah, dia dapat menjimatkan kos untuk pengangkutan.
“Selebihnya ialah kos sara hidup dan kos pengangkutan ke tempat busking. Saya pula busking di lokasi berbeza. Kadang-kadang ke Bandar Baru Bangi, Kajang dan Taman Melawati. Jadi kos tambang agak tinggi.
“Bagaimanapun saya lega kerana rumah di bawah kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) saya kena fikirkan kos lain saja,” katanya.
Fendy berkata, dia mengalu-alukan sekiranya ada mana-mana pihak menawarkan peluang untuk dia busking pada mana-mana acara atau program sepanjang Ramadan ini.