KUALA LUMPUR: Membesar dalam era rock 1990-an memberi pengaruh kepada kecenderungan muzik lima jejaka yang menganggotai kumpulan muzik berasal dari Texas, Amerika Syarikat (AS), iaitu Culture Wars.

Mewakili teman-teman, vokalis band itu, Alex Dugan berkata, pada era itu, muzik rock bukan sahaja gemilang, malah, banyak melahirkan ‘rockstar’ yang menjadi idola pemuja.

“Bagi kami, era 1990-an hingga 2000 adalah tahun gemilang buat muzik rock atas faktor kualiti dan aura energetik.

“Kami cipta muzik berdasarkan band yang banyak memberi ilham seperti Oasis, Third Eye Blind, The Killer, Kings of Leon dan U2. Zaman itu sangat istimewa sebelum media sosial ambil alih.

“Kami anggap era 1990-an hingga 2000 sebagai era terakhir yang melahirkan ‘rockstar’. Disebabkan kami berasal dari Texas, terselit elemen ‘country’ dalam muzik kami,” katanya pada sidang sidang media di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, baru-baru.

Kunjungan kumpulan dianggotai Dugan, Caleb Contreras, Dillon Randolph, David Grayson dan Josh Stirm ke Kuala Lumpur bagi menjayakan persembahan pembukaan siri jelajah Konsert Maroon 5 Asia 2025 yang menggegar Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, baru-baru ini.

Sepanjang tiga hari bertandang di Kuala Lumpur, Culture Wars yang cukup popular dengan lagu Heaven, sempat bersiar-siar. Antara destinasi pelancongan dikunjungi mereka adalah Batu Caves.

Culture Wars sangat teruja melihat ribuan manusia membanjiri Batu Caves pada cuti umum Thaipusam. - NSTP/Nabila Adlina Azahari
Culture Wars sangat teruja melihat ribuan manusia membanjiri Batu Caves pada cuti umum Thaipusam. – NSTP/Nabila Adlina Azahari

Dugan berkata, mereka sangat teruja melihat ribuan manusia membanjiri Batu Caves pada cuti umum Thaipusam.

“Sebenarnya, kami pernah pergi ke Batu Caves, tahun lalu. Bagi kami, Batu Caves sangat menakjubkan.

“Kali ini, kami sangat teruja kerana ada festival sempena Thaipusam dan ribuan manusia berkunjung. Jika ada peluang, saya mahu kembali sekali lagi ke Batu Caves,” katanya.

Bukan sahaja menggemari lokasi pelancongan popular Malaysia, malah, Dugan dan teman-teman mengakui juadah tempatan menepati cita rasa dan selera mereka.

“Seperkara yang paling kami suka mengenai Malaysia adalah makanannya. Juadah tempatan sangat sedap dan menepati cita rasa kami.

“Antara menu kegemaran adalah sambal udang, masak lemak, kari laksa dan rendang. Walaupun pedas, kami masih boleh terima kerana sudah biasa disebabkan Texas berdekatan Mexico.

“Cuma tahap pedas juadah di sini sahaja berbeza,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini kumpulan itu, Culture Wars berkata, mereka sedang menyiapkan album baharu.

“Buat masa ini, kami dalam proses mencari material dan idea baharu. Selain itu, kami penuhi undangan menjayakan siri jelajah,” kata Dugan lagi.

Sebelum ini, Culture Wars dikenali sebagai The Vanity. Single It Hurts dicipta berdasarkan pemerhatian Dugan terhadap aksi seorang wanita yang memburu cinta di sebuah hotel di Beverly Hills, California.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *