Kuala Lumpur: Penyanyi veteran, Datuk Zainalabidin selesa untuk tidak mengambil sebarang bayaran ketika tampil membuat persembahan di Festival Drums & Percussion Malaysia yang akan berlangsung di Dewan Konsert Seri Budiman, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada 7 Disember depan.

Zainal, 65, berkata, pengorbanannya itu adalah salah satu cara untuk memberi didikan kepada masyarakat khususnya pelajar mengenai kepentingan pendidikan dalam seni.

“Saya lakukannya secara percuma untuk pendidikan. Saya mahu seni itu dilihat dan disedari bahawa ia sesuatu yang penting.

“Ini bukanlah kali pertama sebab sebelum ini pun saya pernah buat persembahan tanpa kenakan apa-apa bayaran.

“Antaranya, untuk acara konsert sebelum ini di yang juga objektif utamanya untuk pendidikan.

“Memang saya adakan persembahan itu untuk pelajar-pelajar dan saya nak didik mereka agar tahu bahawa seni ini penting,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah penyanyi lagu Hijau itu lagi, pendidikan amat penting dalam memastikan seseorang pemuzik itu tahu hala tuju dan landasan yang betul.

“Kebanyakan orang Melayu ini berbakat, tetapi, mereka tak tahu ke mana hala tuju mereka.

“Ada banyak institut pengajian tinggi, namun, semuanya memerlukan kos dan kalau tanpa wang, mereka tak dapat melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Kata Zainal yang akan mempersembahkan tiga lagu itu lagi, kejarlah ilmu sehingga ke peringkat yang tinggi kerana ia boleh mendatangkan hasil yang baik untuk masa depan.

“Rata-rata, ramai pemuzik berbakat ini tidak memiliki latar belakang akademik. Jadi, apa yang saya tekankan di sini adalah pergi belajar. Dapatkan ijazah sarjana muda, dapatkan ijazah, dapatkan PhD dalam muzik.

“Kemudian, kamu akan dapat merasakan bahawa menjadi pemuzik itu sebenarnya dapat mendatangkan hasil yang baik dan mempunyai masa depan yang cerah.

“Janganlah main (muzik) di tembok, main tiga ke empat chord, kemudian kamu panggil diri kamu komposer. Itu bukan caranya. Kamu hanya bertuah,” katanya.

Selain Zainal, festival itu turut menampilkan artis dan pemuzik terkenal antaranya Arthur Kam, Batteryheadz Percussion, Kamrul Hussin, Lola and XPDC, Pa’ang Zaman, Rie Tsuji, Sān Percussion, Steve Thornton, The Gong, Ujang Exists serta Pancaragam Polis Diraja Malaysia dan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *