PADA ketika ini boleh dikatakan penangan lagu tradisional dan asli kembali menyerlah serta menarik perhatian ramai termasuk golongan generasi Alpha yang meminati nyanyian dan tarian.

Ia dibuktikan dengan populariti lagu Lemak Manis nyanyian asal Roslan Madun dan Umpan Jinak Di Air Tenang (Allahyarham Datuk Ahmad Jais) sering dipersembahkan dalam acara hiburan.

Malah, penyanyi lelaki yang semakin mendapat tempat adalah Haziq Rosebi yang dilihat cukup bagus dalam mendendangkan rangkaian lagu tradisional dan asli dengan vokal lunak.

Haziq, 38, berkata dia mula berjinak-jinak menyanyikan lagu tradisional sejak kanak-kanak kerana minat mendalam dan ditambah mendapat sokongan padu daripada kedua ibu dan bapa.

“Saya mula nyanyi lagu tradisional sejak usia 10 tahun. Malah, saya belajar menyanyi lagu-lagu Allahyarham Ahmad Jais ketika di tingkatan dua, umur 14 tahun.

“Alhamdulillah, sampai sekarang pun saya masih belajar menyanyi lagu tradisional dan asli. Tak pernah berhenti belajar rasanya sebab menuntut ilmu ini tak kenal usia,” katanya.

Berbelas tahun menyanyikan lagu orang tanpa buah tangan sendiri, Haziq mengakui penantiannya berakhir pada tahun lalu dengan kehadiran lagu NurLela hasil ciptaan bersama dia dan Affan Mazlan.

“Terus terang, saya tak sangka lagu NurLela ini diterima baik pendengar terutama generasi Alpha. Boleh dikatakan, kali pertama juga saya buat lagu sendiri dan tular di platform TikTok.

“Ramai golongan remaja yang buat video tarian NurLela sampai lagu ini meletup, termasuk muzik video di YouTube pun dapat sambutan mencecah hampir 700,000 tontonan dalam tempoh dua bulan dilancarkan.

“Saya ucap terima kasih tidak terhingga kepada semua peminat dan pendengar yang menyokong. Apatah lagi sebenarnya setiap kali saya keluarkan apa-apa lagu, saya tak pernah bagi harapan dan jangkaan.

“Ini kerana saya tahu lagu-lagu saya cuma diterima oleh kelompok peminat saya yang tersendiri. Jadi, bila saya keluar produk, mereka inilah yang akan dengar dan tularkan. Bagi saya, ia bermula dari mulut ke mulut,” katanya.

Menurut bekas bintang Akademi Fantasia musim keenam (AF6) ini, dia juga menganggap karya atau lagu yang bagus bersifat organik atau semula jadi apabila terus disukai sebaik mendengarnya.

“Saya pula memang sejenis yang tidak suka macam nak tekan sangat untuk lagu jadi viral (tular). Saya lebih seronok bila orang suka secara sendiri dan bukan dipaksa-paksa.

“Bagi saya, menjadi penyanyi lagu tradisional dan asli juga bukan mudah dan boleh main suka-suka. Kena ada minat mendalam dan rajin berlatih agar vokal dapat serasi dengan lagu dinyanyikan.

“Apa yang penting untuk menyanyi lagu tradisional ini bukan senang, ia sangat susah. Tak semua penyanyi pop dan balada boleh nyanyi lagu tradisional. Cuma bila dah dapat kuasai lagu (tradisional) itu, pasti boleh nyanyi lagu genre lain juga,” katanya.

Kira-kira 20 tahun sudah bergelar anak seni, Haziq bagaimanapun tidak menafikan bukan senang untuk membina nama hingga bakat diterima kerana bergantung pada ketentuan rezeki selain terus berusaha.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *