BIARPUN sudah 16 tahun berkelana dalam industri seni sebagai DJ, penyanyi Malik Choo mengakui tahun lalu adalah lembaran baharu cukup bermakna dalam kerjaya solonya.

Selepas muncul dengan single Suka Kamu dan Apa Saja, Malik kini tampil dengan buah tangan ketiga berjudul Move On yang menyaksikan dia keluar daripada zon selesa.

Malik berkata, menerusi single terbaharu, dia dicabar oleh pihak pengurusan, Svltan Management dan Sony Music Malaysia untuk menonjolkan bakat tarian biarpun tidak mempunyai asas profesional dalam bidang itu.

“Tugas saya adalah untuk sangat fokus dan belajar gerakan tarian dalam masa yang sangat singkat.

“Saya pernah ‘main-main’ tarian hip hop masa di sekolah menengah dulu, tapi secara profesional, saya adalah seorang DJ. Jadi menari ini benda yang sangat baru buat saya,” katanya.

Lebih mencabar, Malik mendedahkan dia hanya sempat menjalani latihan tarian selama dua sesi sahaja sebelum penggambaran klip video dilakukan.

“Latihan sangat cepat dan mencabar. Saya belajar tarian malam sebelum penggambaran, dalam jam 11 malam hingga 12 tengah malam.

“Kemudian jam 6 pagi esoknya terus mulakan penggambaran klip video Move On. Memang jadual sangat padat,” katanya.

Mengulas mengenai perjalanan seninya yang bermula sejak 2009, Malik menyifatkan rezeki muncul sebagai penyanyi solo adalah aturan Tuhan yang indah selepas sekian lama menyimpan impian untuk bernaung di bawah label milik Altimet.

“Dari mula jadi DJ, saya teringin sangat nak masuk Kartel Records Sdn Bhd. Tapi masa itu impian saya nak jadi DJ rapper. Tuhan tidak beri peluang itu dulu, tapi saya bersyukur dengan jalan cerita sekarang.

“Saya pun tidak tahu yang Altimet akan tawarkan saya jadi penyanyi. Pada mulanya saya ingat dia bergurau sebab saya rasa bukan sesiapa dan tiada orang kenal.

“Tapi dia tanya, apa yang saya takutkan? Dari situ saya terima cabaran ini,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Malik yang kini sedang mencari identiti muzik sebenar tidak menolak untuk mencuba pelbagai genre termasuk lagu balada dan bercadang menjalin kolaborasi dengan artis Indonesia seperti Afgan atau Caleb J.

Selain menyanyi dan menari, Malik turut menyatakan kesediaannya untuk terjun ke bidang lakonan jika diberi peluang demi mengembangkan bakat dan mencari pendapatan.

“Apa sahaja yang boleh mendatangkan pendapatan, letakkan saya di situ. Saya mahu mencuba,” katanya.

Malik turut merancang untuk menghasilkan album penuh apabila sudah mempunyai koleksi lagu yang mencukupi.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *